Segera laksana pendaftaran E-Kad PATI atau berdepan hukuman sebat

Bernama
Jun 13, 2017 21:17 MYT
Mustafar berkata pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan di 137 pintu masuk ke negara ini sama ada melalui darat, udara dan laut sepanjang sambutan Aidilfitri nanti. - Gambar fail
Para majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin diingatkan supaya segera mendaftarkan mereka dalam program E-Kad (Enforcement Card) sebelum 30 Jun ini atau bersedia menerima hukuman sebat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata hukuman berkenaan boleh dikenakan kepada majikan yang didapati masih menggaji sekurang-kurangnya lima pendatang haram atau dikompaun RM10,000 bagi setiap seorang daripada mereka selepas tarikh tutup tersebut.
"Setelah pelbagai usaha kita lakukan dalam tempoh empat bulan sejak dilaksana pada 15 Feb lepas supaya majikan membuat pendaftaran E-Kad tapi mereka masih gagal. Mulai 1 Julai, kita akan laksanakan sepenuhnya penguatkuasaan.
"Kita sarankan mereka buat pendaftaran bukan di saat akhir bagi mengelakkan berlaku kesesakan di mana-mana pejabat imigresen seluruh negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa majlis penerapan nilai-nilai murni dan Iftar jabatan itu di sini, malam ini.
Beliau berkata sejak mula dilaksana, pejabat Imigresen pernah merekodkan sehingga 2,000 pendaftaran sehari dan berkemungkinan jumlah itu akan meningkat di saat-saat akhir dari tarikh tutup itu.
Bagaimanapun katanya, jabatan berkenaan akan tetap berusaha menyelesaikan proses pendaftaran secara percuma itu secepat mungkin malah akan menambah kakitangan pada waktu puncak sekiranya perlu.
Mustafar berkata setakat 7 Jun lepas, sebanyak 104,507 pendaftaran E-Kad telah dikeluarkan jabatan itu dan ia hanya melibatkan 10 peratus daripada sejumlah 400,000 ke 600,000 orang pendatang tanpa izin yang disasar untuk berdaftar.
Menurutnya, faktor yang menyebabkan majikan masih enggan mendaftarkan pendatang haram yang digaji adalah kerana merasakan mereka mampu 'terlepas' daripada sebarang elemen penguatkuasaan selain amalan suka bertangguh sehingga ke saat akhir.
Di sebabkan itu katanya, berbaki dua minggu lagi dari tarikh tutup, para majikan diberi amaran supaya menyegerakan pendaftaran E-Kad bagi mengelakkan pekerja haram yang mereka gaji ditangkap dan diusir dari negara ini.
Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan di 137 pintu masuk ke negara ini sama ada melalui darat, udara dan laut sepanjang sambutan Aidilfitri nanti.
"Tak kira Ramadan, Aidilfitri dan sambutan perayaan lain termasuk hari biasa, anggota dan pegawai Imigresen tetap melakukan operasi secara berterusan membanteras pendatang tanpa izin," katanya.
-- BERNAMA
#e-kad #hukuman sebat #Imigresen #Mustafar Ali #pati #pendaftaran #pendatang asing tanpa izin #penguatkuasaan #pintu masuk negara #tarikh tutup
;