Segera hapus babi dijangkiti ASF elak penularan
Shuhada Abdul Kadir
Disember 25, 2021 14:19 MYT
Disember 25, 2021 14:19 MYT
ALOR GAJAH: Kira-kira 6,000 daripada 41,000 ekor populasi babi di 35 ladang penternakan di Paya Mengkuang, Masjid Tanah di sini, yang berkemungkinan dijangkiti wabak Demam Babi Afrika (ASF) akan dimusnahkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, perkara itu bagaimanapun akan dinilai dan diputuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum tindakan berkaitan dibuat dalam masa terdekat.
“Setakat ini 6,000 ekor babi disyaki dijangkiti ASF dan cadangan kita adalah untuk menghapuskan haiwan ini dalam masa terdekat bagi memastikan supaya ianya tidak terus merebak.
“Apa jua tindakan itu akan dilakukan dalam masa terdekat dan JPV serta kementerian juga sedang membuat pemantaun rapi terutamanya terhadap tujuh ladang ternakan yang dikesan berlaku penularan penyakit ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor mengesahkan berlaku penularan ASF di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang, Masjid Tanah.
Katanya, pengesanan penyakit berkenaan ekoran penyiasatan dijalankan pihak JPV susulan laporan penternak babi terlibat serta pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember.
Mengulas lanjut, Ahmad Hamzah berkata, orang ramai terutamanya penduduk tempatan bagaimanapun tidak perlu panik dengan penularan itu kerana tidak akan membabitkan manusia dan berada dalam keadaan terkawal.
Malahan katanya, larangan membawa keluar dan masuk haiwan itu dari kawasan Paya Mengkuang juga sudah dikeluarkan selain penyembelihan juga hanya di rumah sembelih yang diluluskan sahaja tanpa membawa keluar daging babi berkenaan.
“Kita harap rakyat bertenang kerana penyakit ASF ini tidak akan melibatkan manusia dan di sini juga ada 35 ladang ternakan dan yang terkesan hanya tujuh ladang.
“Semua penternak juga memberi kerjasama amat baik bagi membolehkan pegawai veterinar menjalankan siasatan, pengawalan dan sebagainya,” tambah beliau lagi.