Segera daftar pusat tahfiz tidak berdaftar - Yang di-Pertuan Agong
Bernama
Jun 21, 2019 07:49 MYT
Jun 21, 2019 07:49 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat menitahkan supaya semua pusat tahfiz swasta di Pahang yang tidak berdaftar, untuk segera berbuat demikian.
Baginda yang juga Sultan Pahang bertitah pendaftaran itu kelak membolehkan kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), menyalurkan bantuan yang sewajarnya demi kebajikan pelajar.
"Pendaftaran membolehkan pihak berwajib melakukan kawal selia, terhadap pusat tahfiz swasta yang meliputi aspek keselamatan, kewangan, dan sistem pembelajaran supaya mengikuti arus perdana," titah baginda.
Sultan Abdullah bertitah demikian di Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2019, di sini pada Jumaat, yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri Datin Seri Burhah Mohammed, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Sultan Abdullah pada ucapannya juga menitahkan supaya Abdul Rahman dan MUIP mengkaji penubuhan pusat rintis kajian hadis, bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai hadis.
"Pemahaman yang mendalam tentang selok belok hadis sahih perlu diadakan, supaya tidak ada pihak yang dapat memutar belit hadis sahih, yang dapat kita kumpulkan," titah baginda.
Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kejayaan MTNP mengekalkan kedudukan antara yang teratas pada peperiksaan utama negara, selain menghantar ramai wakil ke pelbagai pertandingan dalam dan luar negara.
Selain itu, MTNP yang diwujudkan sejak 22 tahun lalu, kini mempunyai 737 alumni yang bukan hanya menghafaz al-Quran tetapi juga merupakan pakar dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan pegawai diplomatik.
"... dalam masa sama saya berharap, mereka yang sudah menghafal dan mendalami al-Quran, untuk tidak memandang rendah pada yang kurang ilmu, kerana adalah lebih murni jika didekati mereka ini," titah baginda.
Yayasan Pahang menerusi kenyataan media berkata majls itu meraikan 55 pelajar, yang menamatkan hafazan dan tujuh pelajar yang berjaya mengharumkan nama negara, dalam pelbagai bidang di luar negara.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah
#bantuan
#daftar
#hadis
#kebajikan
#kerajaan negeri
#menghafal al-Quran
#MUIP
#Pahang
#pelajar
#pusat rintis kajian hadis
#pusat tahfiz swasta
#tahfiz
#Yang di-Pertuan Agong
#Yayasan Pahang