Segenting Kra: Mampukah Selat Melaka kekal jadi jalur laut ulung dunia?
Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen
Jun 25, 2020 08:00 MYT
Jun 25, 2020 08:00 MYT
SEGENTING Kra adalah daratan kecil di Semenanjung Melayu yang memisahkan Laut Andaman (penghubung ke Lautan Hindi) dengan Laut China Selatan, yang merupakan penghubung semula jadi rantau Asia Tenggara kepada Lautan Pasifik.
Semenanjung Melayu telah dinobatkan antara semenanjung terpanjang di dunia yang menjulur beribu kilometer ke selatan dari Tanah Besar Asia yang dibatasi Selat Melaka.
Selat Melaka merupakan salah satu laluan pelayaran terpenting untuk perdagangan antarabangsa yang menjadi pemangkin jalinan ekonomi dunia pada masa kini.
Sejak berkurun lamanya, Kerajaan Siam (kini Thailand) telah merencanakan untuk membangunkan satu terusan perkapalan yang merentangi tanah sempit di Segenting Kra merentasi Semenanjung Melayu.
Terusan ini diramalkan dapat memendekkan jalur perkapalan tanpa perlu melalui Selat Melaka.
Apakah akan terjadi pada Selat Melaka sekiranya Terusan ini mula beroperasi? Adakah ekonomi Malaysia akan terjejas?
Sebagai nadi perdagangan maritim yang penting, Selat Melaka memainkan peranan utama dalam menjana keperluan perdagangan sedunia sejak dari zaman kerajaan-kerajaan Melayu lama seperti Langkasuka, Srivijaya dan kesultanan Melaka sehingga kini.
Dari jalur laut yang digunakan untuk mengangkut rempah ratus, kini satu pertiga daripada muatan petroleum sedunia diangkut menerusi Selat Melaka.
Saban tahun, peningkatan aktiviti perkapalan dilaporkan berlaku di Selat ini dan pertambahan bilangan trafik ini secara tidak langsung telah memberikan kesan ke atas kelestarian alam sekitar marin.
Projek Terusan Kra yang dicadangkan ini boleh berfungsi sebagai laluan alternatif perkapalan yang bakal merubah industri maritim di rantau ini.
Seawal tahun 1677, Raja Narai yang menguasai Siam telah mempunyai visi untuk membina terusan yang menembusi Segenting Kra, tetapi sehingga kini, masih belum menjadi realiti.
Selat Melaka terus digunakan sebagai jalur laut yang utama dan pelbagai kota pelabuhan Melayu terus mekar berkembang di rantau ini meskipun Kesultanan Melaka telah dijajah dan dijarah Portugis pada tahun 1511.
Kehebatan orang-orang Melayu dalam membangunkan kota pelabuhan dan mengekspoitasi jalur laut antarabangsa ini diakui sendiri oleh Gabenor Belanda di Melaka pada tahun 1687, Thomas Slicher yang menggambarkan Riau sebagai pelabuhan yang hebat di zamannya.
Beliau dilaporkan telah mengatakan bahawa:
“Jumlah kapal yang bepergian ke Riau (ibukota Johor pada waktu itu) adalah sangat banyak sehinggakan sungai yang dimudiki menjadi sangat sesak kerana banyaknya kapal-kapal dagang...”.
Pihak British juga tidak melepaskan peluang untuk merebut peluang ekonomi menerusi jalur laut Selat Melaka dengan menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786, Melaka pada tahun 1824 dan Singapura pada tahun 1819.
Antara tiga pelabuhan-pelabuhan di negeri-negeri Selat ini, Singapura yang paling menyerlah.
Oleh itu, pihak British tidak pernah bersetuju dengan projek ini kerana khuatir pengkalan maritim mereka di Singapura akan terjejas akibat pembinaan terusan di utara Semenanjung Melayu.
Siam telah berpihak kepada kuasa Axis sewaktu Perang Dunia Kedua, dan dianggap musuh kepada pihak berikat.
Apabila kuasa Axis kalah perang pada tahun 1945, Siam dipaksa menandatangani Perjanjian Perdamaian Siam-British pada tahun 1946 untuk menamatkan status perang di antara kedua-dua negara.
Salah satu daripada syarat perjanjian ini telah mencegah Siam daripada menggali terusan menembusi wilayahnya untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Telukan Siam untuk melindungi kepentingan British di Singapura.
Sayang sekali pihak British tidak menuntut wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun sewaktu menandatangai perjanjian ini.
Jika tidak wilayah Malaysia di Semenanjung Melayu akan lebih jauh ke utara. Perjanjian ini bagaimanapun kemudian telah dibatalkan pada tahun 1954.
Projek terusan ini telah beberapa kali dihidupkan dan dibatalkan atas beberapa sebab seperti kekangan kewangan, keselamatan dan isu alam sekitar yang berbangkit.
Kekaburan yang melanda dalam pembinaan terusan ini akhirnya terurai apabila Senat Thai mencapai kata sepakat untuk meneruskan projek ini pada tahun 2005.
Namun projek ini kekal dorman sehingga disebut semula untuk dibangunkan pada tahun 2015.
Dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia yang mengakibatkan kemelesetan ekonomi global, projek ini mungkin akan ditunda lagi entah sampai bila.
Terusan ini akan mempunyai jarak sejauh 120 kilometer (jarak perjalanan yang lebih kurang sama dari Kuala Lumpur ke Sungkai) dengan kedalaman 25 meter dan berkeluasan 400 meter persegi.
Kerajaan Thailand akan menanggung kos pembinaan dengan bantuan daripada negara-negara maritim seperti Jepun, China dan Amerika Syarikat serta negara-negara lain yang berkepentingan dari Malaysia dan Indonesia.
Terusan ini dijangka dapat melencongkan trafik dari Selat Melaka sekaligus mengurangkan beban Selat ini yang kini menampung trafik perkapalan yang tidak terbatas.
Sistem pelayaran yang dinamakan ‘lintas transit’ atau transit passage digunapakai di Selat Melaka seperti yang dikuatkuasakan oleh Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (LOSC) telah menyebabkan negara-negara pesisir Selat, iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia tidak boleh dengan apa cara sekalipun menghalang laluan kapal merentasi Selat Melaka untuk tujuan pelayaran antarabangsa.
Tanggungjawab negara pesisir untuk tidak menghalang laluan kapal merentasi Selat ini disebut secara jelas dalam Artikel 44 LOSC.
Sekiranya Terusan Kra menjadi laluan alternatif, pengurangan trafik ini akan secara langsung atau tidak langsung menyelesaikan isu-isu jenayah maritim di Selat Melaka.
Dalam waktu yang sama, projek ini dikatakan dapat membantu mengurangkan bebanan negara-negara littoral, iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura untuk membiayai infrastruktur bantuan pelayaran yang terdapat di sepanjang Selat Melaka.
Kelestarian alam sekitar marin Selat Melaka juga dapat dipelihara dan dipulihara dengan lebih baik dengan adanya terusan ini, dan rantau Selat ini dapat terus dimajukan sebagai hab perikanan yang unggul di Asia.
Projek yang dicadangkan ini dijangka akan menyebabkan pengurangan bilangan kapal-kapal yang akan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan sepanjang Selat Melaka.
Adalah diramalkan terusan ini bakal digunakan sebagai laluan alternatif terutamanya oleh kapal tangki minyak manakala kapal kontena masih akan menggunakan Selat Melaka kerana laluan menerusi terusan ini memerlukan kapal-kapal kontena untuk mengurangkan kelajuan mereka.
Setakat tahun 2019, Majlis Perkapalan Sedunia atau World Shipping Council telah mengiktiraf Singapura sebagai pelabuhan kedua tersibuk di dunia manakala Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas ditempatkan sebagai antara 20 pelabuhan yang paling dikunjungi kapal-kapal dagang di seluruh dunia.
Memandangkan ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri perkapalan, adalah tidak keterlaluan untuk dinyatakan di sini bahawa terusan yang mahu dibangunkan oleh kerajaan Thai ini bakal memberikan implikasi buruk kepada Singapura.
Meskipun Malaysia tidak terlalu bergantung kepada industri pelabuhan dan perkapalan sepertimana Singapura, Malaysia telah membangunkan infrastruktur pelabuhan dan perkapalan terutamanya di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, yang masing-masing merupakan pelabuhan kedua dan ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Singapura.
Oleh itu, fakta ini menunjukkan bahawa usaha pihak Thai untuk membina terusan ini boleh menjejaskan ekonomi kedua-dua negara Malaysia dan Singapura kerana terusan ini akan membentuk laluan maritim baru yang lebih pendek dan dijangkakan lebih memberikan penjimatan kepada syarikat-syarikat perkapalan untuk merentasi Asia Tenggara berbanding laluan Selat Melaka.
Jadi atau tidak, kerajaan Thai telah mengumumkan pada tahun 2018 bahawasanya projek ini bukanlah keutamaan bagi Bangkok, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Straits Times pada 13 Februari 2018.
Namun pada 20 Januari 2020, Bangkok Post melaporkan ahli-ahli Parlimen Thailand menyokong cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa bagi mengkaji kebolehlaksanaan projek ini.
Apa yang penting, sekiranya Terusan Thai ini menjadi terusan realiti, senario perkapalan di Asia Timur dan Asia Tenggara tidak akan lagi kekal sama seperti sekarang.
Seperti Suez dan Panama, terusan ini bakal menjadi terusan perkapalan pertama di Asia Timur yang akan menjadikan Semenanjung Melayu sebuah pulau.
Malaysia harus terus mengejar visi dan citanya untuk menjadi sebuah negara maritim ulung walaupun projek ini akhirnya mungkin akan memberi kesan, sama ada baik ataupun buruk kepada ekonomi negara.
Persoalannya, apakah Selat Melaka akan kekal sebagai jalur laut ulung di dunia?
* Leftenan Komander (Kehormat) Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan leftenan komander Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia.
** Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.
*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Amerika Syarikat
#Bangkok
#China
#ekonomi
#keselamatan
#Kolumnis AWANI
#Kra Canal
#laluan pedagang
#Laut Andaman
#minyak
#pandemik
#Segenting Kra
#Selat Melaka
#Thailand
#Thailand Gulf
#undang-undang