Segelintir ibu bapa tertekan PdPR, tidak mampu pantau terpaksa bekerja

Nur Fazlizai Ali
Januari 17, 2021 20:50 MYT
Bagi ibu bapa kurang berkemampuan, pembelian peranti termasuk laptop amat membebankan. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan saja menuntut disiplin tinggi pelajar malahan ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting demi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir.
Bagaimanapun itu bukan perkara yang mudah untuk dilakukan dan ternyata memberi cabaran kepada ibu bapa khususnya mereka yang bekerja.
Beberapa penjaga yang ditemui berkata, mereka mungkin mampu menyediakan kemudahan untuk PdPR melalui kaedah dalam talian kepada anak namun masih berdepan kekangan lain.
Antara kekangan paling besar adalah apabila kedua-dua ibu bapa terpaksa keluar bekerja menyebabkan tidak dapat memantau sesi pembelajaran anak-anak di rumah.
Seorang bapa, Che Adam A Rahman, berkata berkata sukar membuat pemantauan sepenuhnya bagi sesi PdPR.
"Ia menjadi cabaran kepada kita apabila anak-anak belajar secara dalam talian di rumah. Pemantauan itu sukar untuk kita tumpukan... lebih-lebih lagi ada daripada belia atau remaja yang belajar ini berbeza.
"Ada yang memang suka belajar dan mencari bahan ilmiah... yang lain ada yang cenderung untuk bermain permainan video dalam talian.. ada yang suka menonton filem yang mereka suka," katanya di sini.
BACA: 'PdPR satu-satunya pilihan yang ada'
BACA: Wujudkan Pusat Rujukan PDPR- PIBGN
Sementara itu, seorang bapa tunggal, Ahmad Rabiul Zulkifli, berkata masanya yang terhad di rumah menyukarnya untuk memastikan anak-anak dapat mengikuti sepenuhnya sesi PdPR.
"Memang mencabar untuk ajar dia sebab kita pun bekerja... banyak mana sangatlah masa kita ada hendak didik dia di umah tu.
"Tapi hendak atau tidak terpaksalah... sebab kalau kita tak push anak kita akan tertinggal dalam pelajaran... jadi sekarang sekolah minta belajar secara dalam talian.
"Untuk ibu bapa yang berkemampuan mungkin tiada masalah... tapi kalau ibu bapa yang kurang berkemampuan... hendak beli gajet semua itu mencabar juga... makan pun kadang-kadang tiada... dengan PKP lagi, tak boleh berniaga atau bekerja," katanya.
Dia berharap agar satu alternatif dapat diambil bagi memastikan pendidikan para murid dan pelajar tidak tercicir dalam pelajaran, termasuk mengenakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dengan pembukaan sekolah.
Lebih satu pertiga tiada akses peranti untuk PDPR
#PdPR #sekolah #ibu bapa #tidak mampu #pantau anak #terpaksa bekerja #tiada masa di rumah #keciciran #COVID-19 #PKP
;