Segaris Art Center anjur NO(W) SHOWING! untuk jana dana bantuan COVID-19
Irwan Muhammad Zain
Mac 28, 2020 13:07 MYT
Mac 28, 2020 13:07 MYT
KETIKA negara berdepan wabak COVID-19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak aktiviti yang terpaksa dihentikan.
Antara yang terpaksa menghentikan aktiviti ketika tempoh PKP ini adalah pihak syarikat pengurusan acara dan aktiviti berkaitan kesenian.
Pameran-pameran seni yang dijadualkan sepanjang bulan Mac terpaksa dibatalkan selepas kerajaan mengumumkan arahan PKP akibat penularan wabak COVID-19 ini.
Namun, PKP bukan alasan bagi Segaris Art Center untuk berdiam diri tanpa sebarang aktiviti yang sering dilakukan oleh anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd itu.
Menyedari platform media sosial boleh digunakan untuk mempamerkan karya-karya hebat artis-artis tempatan, Segaris Art Center bakal menganjurkan pameran secara atas talian yang berjudul NO(W) SHOWING! bermula 1 April nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Segaris Art Center, Nizam Rahmat pameran selama tiga bulan itu juga dianjurkan untuk mengutip dana bantuan COVID-19 kepada mana-mana pihak yang memerlukan.
Kempen jualan atas talian ini, kata Nizam merupakan inisiatif penggiat seni visual bagi membantu mereka yang memerlukan menerusi tabung COVID-19.
"Pameran atas talian NO(W) SHOWING! yang julung kalinya kami (Segaris Art Center) anjurkan boleh dianggap sebagai inisiatif penggiat seni untuk membantu ketika tempoh post COVID-19 yang impaknya amat hebat.
"NO(W)SHOWING! adalah pameran menerusi sosial media, yang dianjurkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kerana galeri tidak dapat beroperasi ketika ini.
"Segaris dan penggiat seni berusaha membantu kerajaan dengan cuba mendapatkan dana menerusi hasil jualan karya-karya yang dipamerkan," katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Nizam, hampir 50 karya yang dihasilkan oleh 40 artis tempatan yang terdiri dari yang muda dan senior akan menyertai NO(W) SHOWING! ini.
Enggan berdiam diri ketika tempoh PKP ini, Segaris Art Center berusaha membantu memerlukan ketika tempoh sukar ini dengan penganjuran NO(W) SHOWING!.
"Menjual karya secara atas talian tanpa pameran fisikal adalah idea kami di Segaris Art Center untuk memastikan penggemar seni visual menikmati dan membeli karya seni tanpa keluar rumah sambil menderma ke tabung COVID-19," katanya lagi.
Nizam berharap 10 hingga 20 peratus hasil jualan karya-karya yang dipamerkan dapat disumbangkan kepada Tabung COVID-19 bagi membantu mereka yang memerlukan.
"Secara peribadi saya berharap kami dapat mengumpulkan lebih atau sekurang-kurangnya RM10,000 untuk Tabung COVID-19," katanya.
Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergarakan untuk memastikan dapat memutuskan rantaian COVID-19.
Sehingga 27 Mac, sebanyak 2,161 kes baru COVID-19 dicatatkan dengan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 26 kes.
#coronavirus
#COVID-19
#dana
#koronavirus
#Nizam Rahmat
#NO W SHOWING
#pameran
#perintah kawalan pergerakan
#Segaris Art Center
#Seni
#tabung
#UiTM Holdings Sdn Bhd