Segamat masih catat IPU tidak sihat, Petaling Jaya beransur pulih

Hilmi Malik
April 23, 2023 12:29 MYT
Daerah Kedah, Perak, Sabah, dan Sarawak antara negeri yang mencatatkan bacaan IPU memuaskan. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Daerah Segamat masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat yang boleh menjejaskan tahap kesihatan.
Kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pada jam 11 pagi, Segamat mencatatkan bacaan 106.
Sementara itu, daerah Petaling Jaya pula merekodkan bacaan yang semakin pulih iaitu 70 berbanding semalam sebanyak 108 yang turut berada dalam kategori kurang memuaskan.
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Setakat ini, daerah Kedah, Perak, Sabah, dan Sarawak antara negeri yang mencatatkan bacaan IPU yang memuaskan.
Baru-baru ini beberapa kawasan merekodkan bacaan IPU yang tidak sihat termasuk Segamat yang merekodkan bacaan paling terburuk.
#Petaling Jaya #Segamat #jerebu #IPU
;