Segala aset dan sumber digerakkan dalam operasi mencari mangsa - Musa
Bernama
Januari 31, 2017 22:19 MYT
Januari 31, 2017 22:19 MYT
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman memberi jaminan segala aset dan sumber yang ada telah dan sedang digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa bot pelancong jenis katamaran yang karam di Sabah, Sabtu lalu.
Musa berkata pada masa ini pelbagai agensi penguat kuasa dan keselamatan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Polis Marin dan unit udara PDRM bekerja siang dan malam dalam operasi berkenaan.
"Setakat ini, kita memastikan pihak berkuasa telah dan sedang memberi sedaya upaya mereka dan sehabis baik untuk mencari mangsa yang masing hilang. Terima kasih kepada negara Brunei Darussalam yang manghantar sebuah kapal dan sebuah pesawat dalam operasi ini," katanya.
Musa berkata demikian kepada pemberita selepas diberi taklimat berhubung perkembangan terbaru operasi SAR mangsa bot pelancong karam yang masih hilang, di Pusat Operasi APMM di Likas di sini hari ini.
Hadir sama ialah Konsul Jeneral China ke Sabah, Chen Peiji, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, Pengarah APMM Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz.
Musa juga memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.
"Saya juga mengarahkan semua agensi berkaitan agar sentiasa menguatkuasakan peraturan dan undang-undang berkaitan kepada semua pengusaha bot yang membawa penumpang dan pelancong, termasuk jaket keselamatan yang mesti dipakai oleh setiap penumpang," katanya.
Menurutnya semua bot yang membawa penumpang dan pelancong juga perlu dilengkapkan dengan GPS, peralatan radio dan telekomunikasi.
Terdahulu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming berkata secara umumnya bot pelancong (jenis yang karam) yang berdafar di Sabah, cuma dibenarkan membawa 12 orang pelancong namun kalau berdaftar di Labuan ia boleh melebihi daripada itu.
"Setakat ini, saya belum ada laporan mengenai bot ini dari mana (berdaftar di mana) atau adakah mereka berlesen. Tetapi secara umumnya, jika bot ini berdaftar di Sabah, pelancong dibenarkan cuma 12 orang. Kita difahamkan, bot ini besar, panjangnya 35 kaki, agak besar. Kalau dengan saiz itu, kalau dia berdaftar di Labuan, boleh dapat kapasiti penumpang yang lebih," katanya.
-- BERNAMA