Seekor singa berkeliaran di bandar Karachi cetuskan panik

Bernama
Ogos 30, 2023 18:36 MYT
Singa berkenaan diserahkan kepada zoo di bandar raya itu dan pertuduhan jenayah sedang difailkan terhadap pemiliknya. - Reuters
ISLAMABAD: Buat kali kedua pada tahun ini, seekor singa dilihat berkeliaran di bandar raya Karachi, Pakistan, menurut seorang pegawai polis pada Rabu.
Singa jantan berusia 20 bulan itu berkeliaran di kawasan perumahan di Karachi selama kira-kira dua jam pada Selasa dan telah mencetuskan panik sebelum haiwan itu ditangkap semula, kata pegawai polis Sheraz Nazir.
Sementara itu, pegawai hidupan liar Mukhtiar Ahmed berkata pasukannya mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam untuk mengepung singa itu di tempat letak kereta dan kemudian menangkapnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa)
Singa berkenaan diserahkan kepada zoo di bandar raya itu dan pertuduhan jenayah sedang difailkan terhadap pemiliknya kerana memelihara haiwan liar di kawasan perumahan.
Pemilik boleh dikenakan denda sehingga 300,000 rupee Pakistan (sekitar AS$1,000) dan penjara sehingga tiga tahun.
Walaupun undang-undang hidupan liar Pakistan membenarkan rakyatnya mewujudkan zoo mini, tetapi memelihara singa atau harimau sebagai haiwan peliharaan di kawasan kediaman adalah satu jenayah.
Tetapi undang-undang itu sering diabaikan.
Pada bulan Februari lalu, seekor harimau bintang kelihatan berkeliaran di kawasan kejiranan berhampiran Islamabad dan renjer hidupan liar mengambil masa beberapa jam untuk menangkapnya.
-- BERNAMA
#singa #Karachi #haiwan liar #Pakistan #polis
;