Seekor harimau kumbang ditangkap di Gerik
Bernama
Februari 16, 2023 19:31 MYT
Februari 16, 2023 19:31 MYT
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Gerik, Perak telah menangkap seekor harimau kumbang dalam satu operasi di Kompleks Perikanan Darat Banding, semalam.
Perhilitan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, harimau kumbang terbabit telah selamat dipindahkan dan dilepaskan ke habitat yang sesuai pada petang tadi, dengan bantuan kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).
"Pemeriksaan fizikal oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan mendapati, harimau itu berada dalam keadaan baik dan stabil," menurut hantaran tersebut.
Jabatan Perhilitan juga menasihati orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan hidupan liar, agar menyalurkan ke talian 'Hotline' jabatan itu melalui 1-800-88-5151 atau menghubungi Jabatan Perhilitan yang berhampiran dengan lokasi aduan.
Untuk rekod, Perhilitan pada 11 Jan lepas telah berjaya menangkap dan memindahkan seekor harimau kumbang ke habitat sesuai bersama NWRC Sungkai.
-- BERNAMA