Sedih, reda keputusan mahkamah - Najib Lep

Sinar Harian
Januari 27, 2024 07:45 MYT
Najib Lep (kiri), laporan Sinar Harian pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
MUAR: “Saya dan keluarga sedih dan reda dengan keputusan mahkamah,” luah Najib Lep, 60, selepas mengetahui adiknya, Mohammed Nazir, 48, boleh dibebaskan menjelang 2029 selepas juri tentera di Guantanamo Bay memutuskan hukuman pada Jumaat.
Najib berkata, doa ahli keluarga terhadap pembebasan Mohammed Nazir atau dikenali Nazir Lep yang merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan kira-kira 20 tahun di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba tidak pernah terhenti dan keputusan mahkamah pada Jumaat merupakan hasil usaha semua pihak dan Kerajaan Malaysia.
Dalam masa sama, harapan masih disandarkan agar adiknya dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin dapat menjalani hukuman di Malaysia dengan perbincangan masih dilakukan.
“Mengenai ekstradisi ke Malaysia, saya tidak boleh jawab persoalan itu, tetapi saya dan keluarga sememangnya mengharapkan agar adik dapat jalani hukuman di negara ini. Kita masih berurusan dengan pihak di sana agar adik dapat dibawa pulang.
“Dalam hal ini, semua memainkan peranan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Apa pun kita perlu tunggu kerana ada proses-proses yang perlu dilalui,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Sebelum itu, media melaporkan juri tentera di Guantanamo Bay pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana bersubahat dalam pengeboman pengganas yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002.
Juri lima pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun.
Selepas bersidang selama kira-kira dua jam pada Jumaat, mereka memutuskan hukuman penjara 23 tahun.
Mohammed Farik Amin dan Nazir Lep boleh dibebaskan menjelang 2029. Kedua-duanya telah ditahan di AS sejak musim panas 2003.
Laporan itu memetik peguam Nazir Lep, Brian Bouffard sebagai berkata: "Perjanjian pra perbicaraan mempertimbangkan kemungkinan penghantaran pulang beliau sebelum hukuman selesai."
Beliau berkata, apabila balik ke Malaysia, mereka akan menjalani program deradikalisasi yang dikendalikan kerajaan Malaysia dan pemantauan seumur hidup oleh pihak berkuasa keselamatan negara. - Sinar Harian
#Indonesia #rakyat Malaysia #pengganas #Teluk Guantanamo
;