Sediakan pelan kontingensi lebih berkesan atasi masalah air - Penduduk
Bernama
September 29, 2019 12:29 MYT
September 29, 2019 12:29 MYT
Rakyat Melaka berharap pihak berwajib menyediakan pelan kontingensi lebih berkesan dengan mengambil kira pendapat orang ramai dalam menghadapi masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.
Peniaga gerai makan, Rohana Abdullah, 43, berkata melalui pelan luar jangka yang berkesan, penduduk tidak lagi dihantui masalah air setiap kali berlaku musim kemarau.
"Saya tidak bermaksud ingin menuding jari kepada mana-mana pihak, namun penderitaan terputus bekalan air cukup membebankan pengguna lebih-lebih lagi peniaga gerai makan seperti saya.
"Lutut dan pinggang saya dah mula sakit-sakit sebab terpaksa angkat lima hingga enam baldi air setiap hari dari lori tangki air untuk kegunaan seharian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Rohana yang menjual nasi lemak di Taman Merdeka juga berharap pihak berwajib seperti Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), dapat memberi maklumat awal tentang gangguan air di negeri ini agar pengguna dapat membuat persiapan awal seperti menyimpan air dan menyediakan bekas tadahan air.
Pendapat yang sama turut dikongsi pesara kerajaan, Muhammad Syukur Rahman, 61, yang berkata masalah gangguan air bukan satu perkara yang baharu di negeri ini, sewajarnya pihak berwajib mempunyai pelbagai pelan luar jangka setiap kali berlaku masalah kekurangan bekalan air.
"Kita tidak boleh hanya bergantung dengan bekalan air dari luar sebaliknya mempunyai simpanan bekalan air sendiri dan sumber air alternatif yang mudah diguna apabila berlaku masalah kekurangan air," katanya yang menetap di Bukit Katil.
Beliau berharap perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan memandangkan bekalan air adalah keperluan asas yang amat diperlukan.
Bagi Norhafizah Saidin, 45, dari Taman Angkasa Nuri dekat sini pula berkata pihak yang diberi tanggungjawab dalam menguruskan air perlu lebih telus dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna jika berlaku risiko gangguan air.
"Maklumat penting seperti paras air berada pada tahap kritikal di empangan dan kolam air, sepatutnya dihebahkan kepada orang ramai...agar kami pengguna lebih bersedia atau setidak-tidaknya dapat turut sama mainkan peranan melakukan penjimatan dalam penggunaan air harian," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Dalam pada masa sama, suri rumah itu memuji kesungguhan yang dilakukan kerajaan negeri dan SAMB membantu pengguna menyediakan lori tangki air yang secukupnya sepanjang gangguan air sejak 14 Sept lalu.
-- BERNAMA
#air
#bekalan air
#gangguan bekalan air
#keperluan asas
#kerajaan
#Melaka
#pelan kontingensi
#pelan luar jangka
#peniaga
#SAMB
#Syarikat Air Melaka Berhad
#tadahan air