Sediakan pekerjaan berkualiti sesuai dengan minat dan potensi - Merdeka Center

Irfan Faruqi
Februari 11, 2023 19:27 MYT
Pengarah Ekskutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata majoriti yang ingin bekerja memang dapat bekerja tetapi tidak menepati kelulusan, kemahiran dan kehendak mereka. - Gambar fail/merdeka.org
Kuala Lumpur: Lebih 19 peratus responden berpendapat bahawa peluang pekerjaan adalah antara lima isu utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Selain itu, isu yang dirasakan penting untuk diberikan penekanan adalah jurang pendapatan (18.8%), meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) (11.5%), tindakan tangani rasuah (9.8%) dan reformasi pendidikan (8.6%).
Demikian dapatan yang diperolehi menerusi tinjauan pendapat awam oleh badan pemikir bebas, Merdeka Center.
Pengarah Ekskutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata majoriti yang ingin bekerja sememangnya dapat bekerja tetapi tidak menepati kelulusan, kemahiran dan kehendak mereka.
"Dan ramai juga orang muda khususnya yang berusia bawah 25 tahun, disifatkan bekerja tidak setimpal. Mereka tidak dapat bekerja dalam bidang yang betul-betul menepati potensi diri.
"Jadi, ramai terpaksa bekerja sambilan seperti menjadi penghantar barangan, makanan dan sebagainya. Dan ianya memerlukan komitmen dan tenaga yang sangat tinggi untuk mereka memenuhi keperluan kehidupan mereka," katanya semasa ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI.

Bagaimana prestasi Kerajaan Perpaduan setakat ini? Menjelang 100 hari pentadbiran, satu kaji selidik mega dijalankan untuk memahami sentimen rakyat terhadap isu semasa, kos sara hidup & ekonomi. Sertai kaji selidik ini menerusi https://t.co/3nd99yT2qd#PantauKerajaanBaharu pic.twitter.com/tQXfyXDCUg

— Astro AWANI (@501Awani) February 8, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Situasi ini disifatkan tidak sihat. Justeru, Ibrahim menyarankan agar ada gerakan dan perubahan dalam sektor tenaga kerja di Malaysia, supaya pekerjaan yang disediakan adalah dalam perkhidmatan atau pembuatan yang bersifat berkualiti tinggi dan diterjemahkan dalam pendapat yang lebih tinggi kepada pekerja.
"Jadi (perlu ada) desakan kepada pengusaha dan pemilik perniagaan untuk meningkatkan teknologi menggunakan kaedah baharu. Supaya mereka lebih produktif, menghasilkan keluaran yang lebih berkualiti tinggi, yang mendapat harga yang lebih mahal." jelasnya.
BACA: 68 peratus puas hati Anwar sebagai PM - Kaji selidik Merdeka Center
Beliau juga memetik angka pengangguran yang kini berada di bawah paras 4 peratus. Menurutnya, angka tersebut tidak mencerminkan situasi sebenar kewangan rakyat.
"Pendapatan yang diperolehi masih tidak dapat memenuhi keperluan rakyat. Sebab itu kita lihat, walaupun kadar pengganguran rendah tetapi desakan untuk berikan lebih banyak bantuan, termasuk desakan membenarkan pengeluaran KWSP kali ketiga itu terus berlaku.
"Kerana realitinya ialah majoriti isi rumah di Malaysia ini berada dalam kewangan yang agak ketat," tambahnya.
Pantau Kerajaan Baharu | Persepsi rakyat terhadap kepimpinan & isu semasa
#Kerajaan Perpaduan #sentimen rakyat #peluang pekerjaan #merdeka centre
;