Sediakan kuota khas bagi agensi bantu rekrut pekerja asing - PAPSMA

Ridauddin Daud
Mac 24, 2022 18:39 MYT
Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan agar disediakan kuota khas untuk membantu majikan merekrut pekerja asing. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan agar disediakan kuota khas untuk membantu majikan merekrut pekerja asing.
Setiausaha Agungnya, Dr N Sukumaran Nair berkata, kuota itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merekrut pekerja asing yang berdepan kesukaran apabila ramai pekerja berhenti akibat pandemik.
Menurutnya, ramai majikan gagal dalam memenuhi keperluan yang disyaratkan dalam membuat permohonan itu sekali gus menafikan peluang mereka untuk mendapatkan pekerja asing.
“Jadi kita akan galakkan majikan PMKS itu menggunakan kuota ini yang diperoleh agensi pekerjaan swasta sebagai fasilitator untuk membantu mereka merekrut pekerja asing.
"Usaha memberikan kuota khas itu antara lain bagi mengelak mana-mana majikan yang terdesak untuk merekrut pekerja asing menggunakan khidmat ejen-ejen haram yang cuba mengaut keuntungan dengan cara salah.
"Kewujudan kira-kira 10,000 ejen haram ini boleh menjejaskan nama baik negara apabila timbul isu yang menyalahi undang-undang sekali gus membuka risiko aktiviti pemerdagangan manusia," katanya pada sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Agung PAPSMA pada Khamis.
Tambah Sukumaran, terdapat ejen-ejen haram menjual nama agensi pekerjaan swasta yang sah dengan menawarkan kos-kos tertentu untuk menarik minat majikan sekali gus membuatkan majikan terpedaya.
"Kami berterima kasih kepada pihak menteri kerana memberi galakan kepada majikan untuk menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta kategori lesen C ini yang mempunyai wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan kerajaan.
"Justeru, kami yang turut diiktiraf kedutaan asing negara sumber memberikan jaminan akan melaksanakan perkhidmatan ini secara telus, integriti dan beretika.
"Kami juga akan memastikan kelicinan proses permohonan para majikan agar urusan pengambilan pekerja asing berjalan dengan baik," katanya.
#kuota #PMKS #PAPSMA #kerajaan #majikan #pekerja asing
;