Sediakan dokumen lengkap di BSI, KSAB demi kelancaran perjalanan - Imigresen
Bernama
Oktober 23, 2022 00:12 MYT
Oktober 23, 2022 00:12 MYT
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menasihatkan semua pelawat yang akan memasuki negara ini menerusi pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri supaya menyediakan dokumen perjalanan lengkap bagi memastikan kelancaran perjalanan ketika cuti umum sempena sambutan Deepavali.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dokumen perjalanan itu termasuk pasport dan visa bagi negara yang memerlukan selain mereka perlu memastikan dokumen tersebut masih dalam tempoh sah laku supaya tidak menimbulkan masalah ketika pemeriksaan dan mengelak kemasukan ditolak.
Beliau berkata ini kerana pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan mendadak kemasukan pelawat dari Singapura melalui kedua-dua pintu masuk berkenaan sempena cuti umum perayaan Deepavali esok.
"Pelawat yang memasuki Malaysia khususnya melalui pintu masuk BSI dan KSAB juga diminta supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain JIM supaya proses pemeriksaan dokumen berjalan lancar.
"Jabatan juga memohon kerjasama daripada ejen-ejen pelancongan untuk mengemukakan lebih awal senarai pelawat dan jumlah bas pelancongan seperti yang dipersetujui dalam sesi libat urus pada 12 Okt lepas di KSAB. Kerjasama semua pihak dapat membantu mempercepat proses kemasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata JIM akan terus memastikan pembukaan kaunter manual, laluan pagar automatik dan laluan motosikal MBike dapat beroperasi pada tahap optimum.
-- BERNAMA