Sedia untuk hantar anak ke sekolah, ini yang ibu bapa perlu lakukan

Astro Awani
Jun 5, 2020 08:12 MYT
Ibu bapa dan penjaga boleh membantu pihak sekolah membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik. - Gambar hiasan
KEMENTERIAN Pendidikan pada Khamis mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya.
Ia menggariskan perkara berkenaan pergerakan pelajar bermula daripada setibanya mereka di sekolah hingga mereka pulang.
Selain peranan sekolah dan guru, penglibatan ibu bapa dan penjaga juga turut digariskan supaya mereka boleh turut membantu pihak sekolah.
Tiga tugas utama ibu bapa dan penjaga ialah:
1. meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan jangkitan COVID-19;
2. membantu pihak sekolah membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik, berdasarkan keperluan sekolah; dan
3. membantu pihak sekolah menyediakan pensanitasi tangan dan alat pengimbas suhu badan (jika mampu dan berkeperluan)
BACA: Normal baharu: Pemeriksaan suhu badan, makan dalam kelas selepas sekolah dibuka
BACA: KKM yakin SOP sekolah boleh cegah penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar
BACA: Garis panduan pembukaan semula sekolah diedar mulai Khamis - Mohd Radzi
Bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman berhubung penularan COVID-19, ibu bapa dan penjaga disarankan:
a. memberi kesedaran kepada anak/anak jagaan berkaitan penjarakan sosial sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan;
b. menasihati anak/anak jagaan supaya tidak berjabat tangan (bersalaman) atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan-rakan atau orang sekeliling;
c. menasihati anak/anak jagaan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan sebelum dan selepas makan;
d. menggalakkan ibu bapa/penjaga sendiri yang menghantar dan mengambil anak/anak jagaan;
e. menyarankan ibu bapa/penjaga menyediakan makanan dan minuman dari rumah untuk anak/anak jagaan bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin;
f. memastikan anak/anak jagaan mengambil sarapan yang sesuai sebelum hadir ke sekolah;
g. menasihati anak/anak jagaan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain; dan
h. menjaga kebersihan dan keselamatan anak/anak jagaan sebelum dan selepas pulang dari sekolah dengan kerap membasuh tangan dan mandi.
Garis panduan tersebut dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
#anak #basuh tangan #COVID-19 #garis panduan #guru #ibu bapa #kantin #kebersihan #Kementerian Kesihatan #Kementerian Pendidikan #kesihatan #KKM #kongsi makanan #pelajar #penjaga #penjarakan sosial #pergerakan #Sanitasi tangan #Sarapan #sekolah #sesak #SOP
;