Sedia pemandu kedua jika perjalanan lebih 300km - JPJ

Sinar Harian
April 5, 2024 09:40 MYT
Zulkifly bercakap pada sidang media Ops Khas Perayaan Aidilfitri 2024 di Terminal Bas, Penang Sentral pada Khamis. - Foto Sinar Harian
BUTTERWORTH: Pengusaha bas ekspres diingatkan untuk menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihalang untuk beroperasi.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, menerusi pemeriksaan yang dibuat sempena operasi khas Hari Raya Aidilfitri mendapati masih banyak pengusaha bas yang gagal kemukakan pemandu kedua meskipun ia syarat yang wajib dipatuhi.
Menurutnya, kegagalan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua untuk perjalanan jauh dikhuatiri akan mengundang kemalangan yang bukan sahaja membahayakan penumpang mereka sendiri tetapi pengguna jalan raya lain.
"Bermula 1 April lalu, kita telah melakukan pemeriksaan bukan sahaja di terminal bas di negeri ini malah di depoh mereka sendiri untuk memastikan pengusaha bas ekspres mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
"Sehingga semalam (Khamis) sebanyak 121 bas telah diperiksa dan mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan termasuk lima kes gagal menyediakan pemandu kedua," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Ops Khas Perayaan Aidilfitri 2024 di Terminal Bas, Penang Sentral pada Khamis.
Dalam pada itu, Zulkifly berkata, pihaknya turut mengesan beberapa kesalahan teknikal yang perlu diberi perhatian serius oleh pengusaha bas seperti cermin retak.
Tegasnya, selagi pengusaha bas gagal menyelesaikan isu pemandu kedua dan kesalahan teknikal yang dikesan, pihaknya tidak akan membenarkan bas terbabit memulakan perjalanan.
Sementara itu, mengulas mengenai Ops Khas Perayaan Aidilfitri 2024 yang dilaksanakan di negeri ini, Zulkifly berkata, seramai 98 anggotanya akan bertugas sepanjang 20 hari operasi berkenaan dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, dengan kerjasama bersepadu agensi lain dalam penugasan operasi ini diharapkan dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian sepanjang musim perayaan Aidilfitri
Selain itu, tambahnya lima lokasi hotspot kemalangan di setiap daerah di negeri ini akan diberi tumpuan agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini. - Sinar Harian
#JPJ #pemandu kedua #Zulkifly Ismail #bas ekspres
;