Demi masa depan rakyat Sarawak, kerajaan persekutuan tiada masalah untuk mengembalikan sekiranya ada, hak kerajaan negeri itu yang ‘terambil’ secara sengaja atau tidak sengaja selama ini.

Memberi jaminan itu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, malah kerajaan persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi untuk berbincang tentang hak-hak negeri Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Runding baik-baik, cari penyelesaian, semua boleh bincang. Dalam kabinet (persekutuan) pun ramai menteri datangnya dari Sarawak,

"Saya sanggup kembalikan hak-hak Sarawak... tidak perlu kita ambil hak orang lain. Kita satu keluarga.... biar kita kekal dalam satu keluarga besar Barisan Nasional (BN) dan sebuah negara bernama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Najib berkata, proses perundingan masih berlangsung di antara beliau dan Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg dan beliau yakin usaha itu dapat memberi kesan signifikan terhadap kemajuan Sarawak dan rakyatnya.

Difahamkan, isu hak dan keistimewaan Sarawak dalam MA63 antara usul utama dibentangkan sepanjang perhimpunan kali ini, selain ekonomi digital dan pendidikan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, melihat kepada perpaduan, permuafakatan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan PBB, beliau yakin ia benar-benar sudah bersedia menghadapi pilihan raya dan mampu memberikan keputusan yang terbaik kepada kerajaan BN.

Katanya, kerajaan juga tidak ragu-ragu untuk menyalur peruntukan pembangunan kepada negeri Sarawak yang dianggapnya "memang berbaloi", dalam usaha membawa pembangunan yang adil dan saksama buat semua.

Beliau berkata, seharusnya tidak ada jurang pembangunan di antara negeri, dan sebab itu juga peruntukan besar perlu disalur kepada Sarawak kerana pembangunan untuk seluruh rakyat perlu diagihkan sama rata antara negeri.

Sebab itu, katanya, beliau memberi tumpuan terhadap pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang menelan belanja tidak kurang daripada RM14 bilion yang dijangka siap pada tahun 2021, tanpa tol.

"Dalam konteks Sarawak, anda semua tidak perlu bimbang, saya sahabat baik Sarawak. Saya ingin lihat seluruh pelusuk tanah air kita, dari Perlis sehingga ke Sabah, membangun dan maju secara seimbang, adil dan saksama.

"Kalau ada jurang pembangunan, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri untuk menanganinya," katanya.