Sedia dasar yang jelas, hala tuju ekonomi dan kekal persekitaran mesra perniagaan - IECM

Bernama
Disember 30, 2023 06:15 MYT
Badariah berkata IECM akan memberikan sokongan berterusan kepada kerajaan dalam apa jua bentuk bagi mengatasi gangguan ekonomi sementara itu. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Dewan Usahawan Antarabangsa Malaysia (IECM) menggesa kerajaan untuk menetapkan dasar dan hala tuju ekonomi yang jelas, memandangkan pelabur termasuk perniagaan mahukan kejelasan, konsistensi serta kesinambungan sambil mengekalkan persekitaran yang kompetitif dan mesra niaga.
Presiden IECM Badariah Badaruddin berkata kestabilan politik merupakan pembolehubah yang sangat penting dalam membina laluan yang koheren dan berterusan bagi pembangunan mampan.
Beliau berkata ketidakpastian yang dikaitkan dengan persekitaran politik yang tidak stabil akan menjejaskan keyakinan pelabur, mengurangkan pelaburan dan seterusnya menghalang kepesatan pembangunan ekonomi. Oleh itu, penetapan dasar yang jelas adalah amat penting.
"Agensi kerajaan perlu responsif kepada perubahan radikal selain tampil dengan penyelesaian baharu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif dan berdaya saing.
"Lebih penting, kerajaan sekarang harus melibatkan pihak berkepentingan untuk dialog serta perbincangan antara sektor awam dan swasta kepada pelaksanaan bagi memastikan kebolehlaksanaan dasar itu," katanya dalam ucapan alu-aluan semasa Mesyuarat Agung Tahunan IECM kelima semalam.
Pada masa yang sama, IECM juga akan terus mencadangkan kerajaan untuk meningkatkan perkongsian awam serta swasta bagi melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dengan berkesan, menerima pakai lebih banyak langkah untuk pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan mampan dalam bajet negara akan datang.
"Perpaduan nasional adalah kuasa utama untuk memacu negara ke hadapan. Kerajaan harus terus mengamalkan pluralisme, mengukuhkan perpaduan negara dan keharmonian kaum bagi menjaga kesejahteraan rakyat.
"Dalam hal ini, pemimpin politik harus mendahulukan kepentingan negara, rakyat, berbanding segala-galanya manakala kerajaan dan teknokrat harus fokus menangani isu jangka panjang," tambahnya lagi.
Badariah berkata IECM mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan kerajaan untuk membendung wabak COVID-19 dan akan memberikan sokongan berterusan kepada kerajaan dalam apa jua bentuk bagi mengatasi gangguan ekonomi sementara itu.
"Seperti biasa kami akan terus berhubung dengan menteri serta timbalan menteri termasuk agensi kerajaan ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan pengembangan perniagaan di hadapan," katanya.
Mengenai rangka kerja terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia dan melimpahkan hasil kepada rakyat, Badariah berharap ini akan menjadi kenyataan dan bukan sekadar kata-kata daripada kerajaan semasa.
"Kami menyedari bahawa Inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.
"Kami berharap pembaharuan struktur ekonomi Madani akan mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna, memastikan peluang yang sama dan mewujudkan rangkaian perlindungan sosial untuk semua. Kami ambil perhatian bahawa dengan kerajaan sekarang, pembaharuan segera kepada struktur, sistem dan institusi adalah perlu kerana ia akan memacu Malaysia ke arah matlamat yang diingini," katanya.
Sementara itu, IECM akan menganjurkan Forum Rangkaian Perniagaan Serantau IECM Mengenai Pembangunan Keusahawanan 2024 mulai 15 hingga 16 Okt 2024 di Pusat Dagangan Dunia.
"Kami cuba untuk berhubung dengan seramai mungkin usahawan dari Malaysia serta negara luar, acara ini disokong oleh agensi kerajaan Malaysia seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, SME Corp, Halal Development Corporation Bhd, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Majlis Amanah Rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#AKPK #IECM #perlindungan sosial #keusahawanan
;