Sederet 11 rumah kedai lama terbakar, 55 penghuni terselamat

Abd Razak Mohd Ali
Mac 28, 2020 10:30 MYT
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kebakaran di Tanjung Malim yang bermula tengah malam tadi. Foto JBPM Perak
Seramai 55 penghuni terselamat apabila 11 rumah kedai sederet di Jalan Besar Behrang Stesen di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.22 tengah malam.
“Kebakaran melibatkan 11 rumah kedai kelas B. Dianggarkan kira-kira 90 peratus musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Slim River, Bidor, Kuala Kubu Bharu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village, Kepong dan Pekan Baru.
“Seramai 45 anggota terlibat dalam operasi, masing-masing 11 dari BPB Tanjung Malim, Slim River (9), Bidor (6), Kuala Kubu (7), PBS Slim Village (3, Kepong (6) dan Pekan Baru (3),” ujarnya.
Katanya, pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan setakat ini.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hussaini Mohamad Zam tamat pada 7.46 pagi.
#bomba #Jalan Besar Behrang Stesen #kebakaran #operasi pemadaman #rumah kedai #Tanjung Malim
;