Sedekad MH370: Harapan baharu pencarian semula, hapuslah spekulasi

Bernama
Mac 7, 2024 11:50 MYT
Pesawat Boeing 777 hilang tanpa jejak selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, tepat jam 12.42 tengah malam membawa 239 penumpang bersama 12 anak kapal. - Foto Sinar Harian
"GOOD Night, Malaysian Three Seven Zero.” Itu mesej radio terakhir dihantar menerusi kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370, tepat pada jam 1.09 pagi, 8 Mac 2014.
Sedekad berlalu, ayat keramat berkenaan menjadi ‘wasiat’ terakhir dari pesawat Boeing 777 itu yang hilang tanpa jejak selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, tepat jam 12.42 tengah malam membawa 239 penumpang bersama 12 anak kapal.
Tiada panggilan ‘mayday’ atau pun isyarat kecemasan dihantar pesawat dengan kod 9M-MRO ini selepas dilaporkan hilang dari radar menara kawalan ketika berada di ruang udara antara Vietnam dan Malaysia pada kira-kira jam 1.30 pagi, sekali gus meninggalkan seribu tanda tanya kepada masyarakat dunia hingga kini.
Dianggap sebagai tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan negara, kehilangan misteri itu menuntut ‘kemahiran berfikir aras tinggi’ pelbagai pihak seantero dunia, termasuk kerajaan Malaysia, badan siasatan penerbangan, pakar penerbangan hatta ‘raja bomoh sedunia’ sekalipun.
Pencarian sepanjang 10 tahun lepas, menjadi operasi terbesar dan termahal pernah dilakukan dalam sejarah penerbangan negara dengan penglibatan 82 pesawat dan 84 kapal laut dari 26 negara dalam tempoh 1,169 hari pencarian merangkumi kawasan dasar laut seluas 232,040 kilometer persegi.
Namun, kesemuanya menemui jalan buntu tanpa sebarang jawapan mahupun penemuan konkrit, malah daripada 27 serpihan pesawat yang dilaporkan ditemukan dari pelbagai lokasi seluruh dunia, hanya tiga serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon yang terdampar di pantai Lautan Hindi disahkan daripada pesawat MH370.
Walaupun kebanyakan ahli keluarga sudah reda dan menjalani kehidupan seperti biasa, namun sudah pasti sepanjang 3,648 hari dari tarikh 8 Mac 2014 hinggalah hari ini, tidak pernah sedetik waktu mahu pun nafas yang dihela mereka, melupakan insan tersayang yang pergi tanpa tanda, ibarat ‘kubur tanpa nisan’.
Ketika ini, ahli keluarga dan waris hanya inginkan dua perihal yang menjadi keutamaan iaitu bukti dan kebenaran, malah perkara itu dinyatakan mereka dengan penuh pengharapan pada majlis memperingati ulang tahun kehilangan pesawat itu, MH370: 10 Years Gone yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Subang, baru-baru ini.
"Fitrah manusia kalau kita kehilangan sesuatu kita nak tahu apa yang berlaku, ke mana perginya,” kata Intan Maizura Othman, 44, isteri kepada kru kabin Mohd Hazrin Mohamed.
Perkara itu itu juga dinyatakan Jacquilita Gonzales, 61, isteri kepada kru kabin Patrick Gomes, 55, yang turut berharap agar pencarian pesawat itu diteruskan semula, agar kehilangannya tidak kekal menjadi misteri selain memastikan perkara sama tidak berulang.
"Saban tahun, keadaan sudah berubah dan kami sedar bahawa kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya, tetapi kami tetap menunggu pencarian semula pesawat, tetapi kami tetap meneruskan kehidupan kami, dengan pergi bekerja. Ini adalah tragedi tetapi kita tidak boleh biarkan ia menghalang kita daripada meneruskan kehidupan,” katanya.
Bai Zhong, suami kepada pasangan Hou Aiqin, penumpang dari China berkata, beliau sudah tidak mahu lagi mendengar spekulasi daripada pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya menuntut kerajaan agar meneruskan usaha pencarian.
"Kami ingin menzahirkan bahawa tidak kira sepuluh tahun, dua puluh tahun, atau tempoh lama sekalipun, selagi kami hidup, kami tidak akan melupakan orang yang kita sayangi, dan tidak akan berhenti mencari kebenaran," tegasnya.
Pada Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kedudukan terakhir pesawat itu ‘berakhir di Lautan Hindi’, di sebelah barat Perth, Australia.
Kira-kira setahun selepas itu, Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang merupakan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika itu, mengisytiharkan MH370 mengalami kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dengan kesemua 239 penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.
Syarikat eksplorasi Ocean Infinity berpangkalan di Amerika Syarikat yang melancarkan operasi mencari MH370 pada 22 Jan 2018 di Lautan Hindi terpaksa menghentikan operasi itu selepas gagal menemui sebarang serpihan berkaitan pesawat itu.
Azharuddin, dalam bukunya bertajuk "Penerbangan Terakhir MH370 dan MH17” (2022), menyifatkan pencarian MH370 di Lautan Hindi, bagai pepatah Inggeris iaitu "like looking for a needle in haystack” - walaupun sukar, kerajaan perlu mencari pesawat tersebut supaya pengakhirannya dapat dimuktamadkan.
Katanya, beliau sedar begitu banyak teori konspirasi yang berlegar-legar antaranya juruterbang menjadi punca kehilangan MH370, pesawat dirampas atau dikawal dengan alat kawalan jauh, pesawat mengalami masalah teknikal, kargo dan saintis misteri selain kononnya MH370 di Mindanao, Filipina.
"Selagi tidak dijumpai bangkai pesawat, maka semakin banyaklah timbul spekulasi lain berkenaan nasib MH370 terutama yang tidak enak didengari,” katanya dalam buku tersebut.
Namun, setelah lima tahun usaha pencarian dihentikan pada Mei 2018, harapan ahli keluarga dan waris kembali ‘mekar’ apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan membuka semula siasatan berhubung insiden kehilangan pesawat MH370 sekiranya terdapat bukti baharu yang kukuh.
Malah Kementerian Pengangkutan memberi jaminan akan melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity, untuk menyambung semula pencarian pesawat itu.
Ketua Unit Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Institut Teknologi Penerbangan UniKL, Profesor Madya Mejar Mohd Harridon Suffian yang ditemui Bernama berkata, walaupun sudah 10 tahun berlalu, namun beliau berpendapat masih ada harapan untuk jawapan yang lebih konkrit bagi merungkai inisiden malang ini.
"Ia memang satu usaha yang panjang tapi kalau kita guna makmal, kepakaran yang kita ada di dalam dan luar negara untuk melakukan kajian lebih mendalam, analisis metodologi dan analisis struktur serta berdasarkan pola serpihan, mungkin kita akan dapat tahu apa sebenarnya berlaku pada MH370?,” katanya.
Sekiranya Ocean Infinity dipersetujui untuk memulakan fasa baharu pencarian pesawat malang itu, maka antara perkara yang perlu diambil kira ialah metodologi baharu pencarian mereka, dalam memastikan proses pencarian mereka lebih bernas berbanding sebelumnya.
Ketika kita memperingati ulang tahun ke-10 kehilangan MH370, mungkinkah misteri kehilangan ini bakal menemui titik noktahnya? Persoalan ini masih menjadi tanda tanya dan harapan seluruh keluarga waris, rakyat Malaysia dan dunia.
-- BERNAMA
#MH370 #AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #Boeing 777
;