Sedari peranan ibu bapa, masyarakat, bimbing remaja berbasikal dengan lebih baik
Bernama
Februari 19, 2017 14:26 MYT
Februari 19, 2017 14:26 MYT
Baru beberapa jam bandar raya ini meriah dengan sambutan Pesta Chingay, suasana keriangan masih berbaki tatkala dikejutkan dengan berita kemalangan lapan remaja lelaki berbasikal yang maut di Jalan Lingkaran Dalam, dekat sini, awal pagi Sabtu.
Bukan itu sahaja, lapan lagi cedera termasuk dua daripadanya kritikal, dengan kesemua 16 mangsa masih muda, berusia antara 13 dan 17 tahun.
Difahamkan oleh saksi yang turut terlibat dan terselamat dalam kejadian malang itu, terdapat kira-kira 50 hingga 60 remaja sama-sama menaiki basikal ketika itu menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Lokasi itu sering menjadi tumpuan orang ramai setiap kali hujung minggu dan menjadi tempat kegemaran remaja ini berkumpul setelah berbasikal kerana ia terletak agak 'jauh' dari kawasan perumahan mereka.
Difahamkan juga, aktiviti remaja ini berbasikal sehingga menghalang jalan raya bukan perkara baharu kerana penulis sendiri beberapa kali terserempak dengan mereka semasa perjalanan pulang ke rumah dari Jalan Serampang ke Masai.
Laluan pulang penulis itu juga merupakan laluan alternatif ke Pasir Gudang dan Pelabuhan Johor yang bukan sahaja dilalui kenderaan biasa malah kenderaan berat seperti lori tangki dan lori muatan besar turut menggunakan jalan itu.
Kumpulan remaja ini akan melalui jalan seumpama ini dan beberapa jalan yang sibuk menuju ke bandar raya dan lebih membimbangkan, mereka menggunakan basikal yang telah diubah suai dan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.
Bertarung nyawa
Penulis juga acap kali mendengar keluhan daripada rakan setugas mahupun orang sekeliling yang sama-sama pernah menyaksikan segelintir remaja berbasikal ini 'bertarung nyawa' melalui jalan raya pada tengah malam atau awal pagi, tanpa sedikit gentar di wajah mereka kerana merasakan tiada kenderaan akan melalui jalan berkenaan pada waktu itu.
Lantas, apabila tragedi malang yang meragut lapan remaja berlaku, siapa yang harus dipersalahkan? Pasti ramai yang menuding jari untuk mencari kesalahan masing-masing.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh, sepanjang tahun lepas sebanyak 28 operasi dijalankan untuk membanteras aktiviti ini dan menyita 37 basikal yang telah diubah suai.
Untuk tahun ini sahaja, daripada lima operasi yang dijalankan, sebanyak 17 basikal telah disita, kata beliau.
Ini sekali gus menunjukkan pihak berkuasa saban waktu menjalankan tugas untuk membanteras aktiviti ini daripada berleluasa, tetapi apakan daya, malang itu tidak berbau.
Sekiranya ibu bapa lebih memberi pengawasan kepada anak-anak mereka dan anggota masyarakat turut sama-sama menjadi 'mentor' kepada remaja ini, mungkinkah ia dapat diatasi?
Peranan ibu bapa dilihat penting dan paling utama agar dapat sentiasa membimbing anak-anak mereka terutama dari segi penglibatan dalam aktiviti yang diminati dan anggota masyarakat juga perlu sama-sama memainkan peranan menjadi 'mata dan telinga'.
Berbasikal adalah satu aktiviti yang baik tetapi ada caranya. Barangkali, remaja-remaja ini perlukan bimbingan supaya minat mereka tidak disalah tafsirkan dan mengikut saluran yang betul.
Mana tahu, sekiranya dibimbing dengan baik, mereka ini tidak lagi membanjiri bandar raya Johor Bahru tanpa haluan, sebaliknya menjadi ikon yang boleh dibanggakan.
Buka mata
Setiap yang berlaku ada hikmahnya, mungkin tragedi ini akan membuka mata pihak-pihak berkenaan dan menjadi pengajaran kepada bukan sekadar ibu bapa malah komuniti sekeliling dan pengguna jalan raya agar berhemah dan berhati-hati ketika memandu.
Seperti pesan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan menziarahi keluarga dan waris mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah pagi Sabtu.
"Yang pergi tidak akan kembali, biarkan pergi, ini juga adalah pengajaran kepada ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam.
"Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali, kalau saya sedih, awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya," titah baginda.
-- BERNAMA/Nor Baizura Basri