Sedang leka bekerja, 12 PATI ditahan di restoran popular Ipoh

Aida Aziz
Februari 23, 2024 06:15 MYT
JIM Perak mengadakan serbuan ke atas sebuah restoran di Ipoh dan menahan 12 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi pagi semalam. - Foto JIM Perak
IPOH: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak di premis perniagaan popular dan asrama pekerja, di sini, semalam.
Timbalan Pengarah JIM Perak, Sharmanrizal Rustam berkata, kesemua tahanan terdiri daripada 11 lelaki warganegara Myanmar dan seorang wanita Indonesia.
Katanya, serbuan di dua lokasi itu dijalankan sekitar jam 8.15 pagi hingga 9.30 pagi.
"Pemeriksaan dilakukan di dua lokasi iaitu di sebuah restoran yang sangat terkenal di Ipoh dan menjadi tumpuan pelancong dari luar Ipoh khususnya serta luar Perak amnya.
"Satu lagi premis yang diserbu ialah rumah kedai yang terletak di tingkat atas restoran tersebut yang dijadikan asrama bagi pekerja restoran.
"Semasa serbuan dilakukan kesemua mereka sedang sibuk bekerja tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Operasi tersebut melibatkan 12 orang pegawai. Hasil daripada operasi yang dilaksanakan, pemeriksaan telah dibuat ke atas 22 individu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sharmanrizal, semua warga asing itu ditangkap dan ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah untuk berada di dalam negara ini, Seksyen 15(1) (c) kerana tinggal lebih masa dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Tambahnya, kes itu turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga Akta Pasport 1966.
"Siasatan ke atas majikan dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan PATI berada di dalam premis mereka juga akan dilaksanakan.
"Mereka akan dikenakan tindakan tegas jika didapati melakukan kesalahan berkaitan," katanya.
JIM Perak turut berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran PATI dalam
negara.
Selain itu, tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan atau individu yang menggaji serta melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.
#Imigresen #pati #restoran di Ipoh #warga asing
;