SEDA YEEPE Studio dilancar di Petrosains, pendekatan interaktif fahami Tenaga Lestari
Israr Khalid
Disember 3, 2024 22:48 MYT
Disember 3, 2024 22:48 MYT
KUALA LUMPUR: Sebagai usaha memupuk pemahaman dan kesedaran terhadap masa depan yang lebih hijau, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) melancarkan SEDA YEEPE Studio di Petrosains, The Discovery Centre, Suria KLCC, Kuala Lumpur.
Studio interaktif berkenaan Tenaga Lestari itu merupakan kesinambungan daripada penubuhan YEEPI, atau Program ‘Young Energy Explorer’, yang diperkenalkan pada 2023.
Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir, SEDA YEEPE Studio telah dibuka sejak bulan Mac 2024 dan sehingga kini telah menerima seramai 45,082 pengunjung.
Kolaborasi bersama Petrosains ini merupakan pendekatan interaktif dan menyeluruh dalam memastikan mesej tentang Tenaga Lestari disampaikan dengan lebih berkesan kepada kelompok masyarakat yang lebih luas.
Melalui pameran dan pelbagai aktiviti menarik, pengunjung khususnya generasi muda berpeluang memperdalam pemahaman dan meningkatkan daya kreatif tentang kepentingan, impak dan cabaran dalam membangunkan sektor tenaga negara yang mampan.
Program YEEPE terbahagi kepada empat aktiviti utama yang dirangka bagi membantu pengajaran dan pembelajaran dalam subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dengan memberikan fokus kepada elemen Tenaga Lestari iaitu:
(i) YEEPE Roadshow - Dengan penyertaan 160 pelajar dari empat buah sekolah terpilih yang melibatkan sesi taklimat dan aktiviti interaktif mengenai tenaga lestari di Pusat Satelit Petrosains PlaySmart di seluruh Malaysia;
(ii) Petrosains RBTX Challenge 2023 - program peringkat kebangsaan dengan kolaborasi bersama Petrosains dengan penyertaan 3,010 pelajar dari pelbagai negara untuk bertanding dalam subjek STEM dan inovasi bertemakan Tenaga Lestari;
(iii) Sustainability Visit Experience dan Renewable Energy Video Competition - Lawatan seramai 210 pelajar-pelajar dari enam buah sekolah terpilih ke loji janakuasa Tenaga Boleh Baharu (TBB) bagi memberikan pendedahan secara terus dan input bagi menghasilkan video pertandingan yang berinovatif;
(iv) SEDA YEEPE Studio - Studio interaktif berkenaan Tenaga Lestari di Petrosains bagi memberi pendedahan mengenai SEDA Malaysia dan program Tenaga Lestari melalui aktiviti dan permainan yang santai dan menarik.
Program YEEPE ini merupakan salah satu inisiatif Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) yang dipengerusikan oleh Akmal Nasrullah, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepekaan rakyat terhadap industri bekalan elektrik.
MELP turut memberikan pendedahan berkaitan Tenaga Boleh Baharu (TBB), amalan cekap tenaga dalam kehidupan seharian, pilihan mobiliti hijau, mekanisme tarif dan pengebilan, serta krisis tenaga global.
SEDA Malaysia ditubuhkan pada September 2011 bagi memacu pembangunan Tenaga Lestari negara, khususnya dalam melaksanakan program Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FiT) bagi menjana tenaga elektrik dari sumber tenaga boleh baharu seperti tenaga solar, tenaga biojisim, tenaga biogas dan hidrokuasa kecil.
SEDA Malaysia juga turut diberikan tanggungjawab dalam menjalankan program kecekapan tenaga seperti program e-rebat SAVE dan Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG), di samping melaksanakan program promosi dan penggalakan kepada orang awam bagi memberikan kefahaman dan penghayatan mengenai tenaga lestari.