Secebis kisah di sebalik pengorbanan besar jururawat
Isabelle Leong
Mei 12, 2020 22:42 MYT
Mei 12, 2020 22:42 MYT
Setiap tahun, tarikh 12 Mei pastinya diingati sebagai hari untuk meraikan jururawat di seluruh dunia.
Namun, sambutan hari jururawat kali ini nyata berbeza.
Kali ini, mereka berdiri di barisan paling hadapan, melawan musuh yang halimuman, tidak terlihat oleh mata kasar.
Di sebalik pakaian seragam jururawat, sebenarnya tanggungjawab yang dipikul mereka amat berat.
Mereka ini bertungkus lumus dan bersengkang mata untuk memastikan Malaysia terus selamat.
Ini kisah mengenai pengorbanan jururawat yang mungkin anda tidak pernah tahu.
Sejurus tamat pengajiannya, Noor Rehan Zainal Abidin, 57 tahun, memulakan kerjayanya sebagai seorang “misi” pada tahun 1986.
Tahun ini memasuki tahun ke-34 perkhidmatannya.
Sepanjang tempoh itu, namakan apa sahaja ancaman kesihatan, beliau sudah tempuhi.
Biarpun mengakui berasa takut berdepan dengan pandemik COVID-19, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya tersebut untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Cabaran paling besar yang selalu kami hadapi ialah pesakit tidak memberikan sejarah perjalanan secara tepat.
“Mungkin kerana mereka takut dan risau mereka tidak dapat masuk ke kawasan hospital.
“Tetapi kami nasihatkan agar pesakit-pesakit ini berterus-terang dengan kami ketika ditemu bual,” kata Rehan ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
Rehan yang lebih mesra disapa “ma’am” bukan sahaja menjadi seorang ibu kepada dua puterinya di rumah, tetapi juga bagaikan seorang ibu kepada semua petugas dan pesakit di hospital tersebut.
Sekuat-kuatnya insan yang bergelar Ketua Jururawat Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur itu, Rehan tidak dapat menahan sebak tatkala bercerita mengenai kisah kakitangannya yang perlu dikuarantinkan akibat berkontak rapat dengan pesakit positif COVID-19.
“Apa yang sangat menyedihkan ialah “staff” saya memberitahu saya mereka sudah lama tidak berjumpa anak mereka.
“Ada yang sudah tidak berjumpa selama 15 hari kerana anak-anak duduk dengan suami. Ada di Lipis dan ada di Raub.
“Oleh itu, mereka minta cuti balik untuk tengok anak-anak, dapat tengok pun cukup. Itu keadaan yang sememangnya menyedihkan. Anak dan keluarga merupakan keutamaan,” ujar Rehan sambil menahan sebak di dada.
Wira-wira ini bukan sahaja berkorban tenaga malah mereka juga terpaksa meninggalkan keluarga tersayang.
Bagi jururawat, Muhammad Hafiz Ab Aziz, 29 tahun pula, beliau bekerja setiap hari tanpa mengira siang dan malam serta meletakkan dirinya dalam risiko dijangkiti virus COVID-19 sejak wabak tersebut melanda negara ini.
“Kali terakhir saya pulang ke kampung di Melaka adalah sebelum Hari Krismas lalu. Selepas itu, saya tidak berkesempatan untuk pulang kerana sibuk bekerja di Kuala Lumpur,” kata Hafiz.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan pada hari ini.
“Kami sama-sama mengorbankan diri, masa dan tenaga kami untuk mencegah dan memberhentikan COVID-19 ini.
“Walaupun tidak dapat beraya di kampung halaman, semoga kami bertabah untuk meneruskan kerja dengan cemerlang,” tambahnya.
Kata Hafiz lagi, meskipun ada yang masih skeptikal terhadap kehadiran jururawat lelaki, namun beliau gembira kerana ramai yang menghargai peranan mereka dalam pasaran jururawat yang didominasi kaum hawa.
Semoga pengorbanan jururawat ini terus dihargai rata-rata rakyat Malaysia untuk memastikan pandemik COVID-19 lenyap dari bumi Malaysia.
Selamat menyambut Hari Jururawat Sedunia 2020 dari warga Astro AWANI!
#COVID-19
#Hari Jururawat Sedunia 2020
#Hospital
#jururawat
#Ketua Jururawat Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur
#Muhammad Hafiz Ab Aziz
#Noor Rehan Zainal Abidin