Secara tradisi, PM memang pengerusi Khazanah - Azmin
Hafiz Marzukhi
Ogos 1, 2018 17:59 MYT
Ogos 1, 2018 17:59 MYT
Adalah menjadi tanggungjawab Khazanah adalah untuk memastikan aset-aset strategik dalam negara diurus dengan baik.
Justeru, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali berkata, ia menjadi peranan Perdana Menteri untuk memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan.
"Oleh itu, secara tradisinya memang Perdana Menteri menjadi Pengerusi Khazanah.
"Ini telah berlaku sekian lama," kata Azmin ketika ditemui di lobi Parlimen selepas sesi penggulungannya di Dewan Rakyat.
Namun, Azmin menjelaskan pengurusan eksekutif masih akan diserahkan kepada kumpulan profesional.
"Pengurusan Khazanah sudah tentu akan dipilih dalam kalangan yang berpengalaman untuk memastikan halatuju syarikat selari dengan agenda negara," katanya.
Beliau diminta untuk mengulas berhubung pelantikan pengarah baharu Khazanah serta halatujunya.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, Mohamed Azmin serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dr Sukhdave Singh dan bekas Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Goh Ching Yin dilantik sebagai pengarah syarikat itu.