Sebutir lagi bom lama ditemukan di Kinarut

Bernama
Februari 28, 2025 22:14 MYT
Kamaruddin berkata pemeriksaan awal mendapati bom lama jenis UXO itu bersaiz sama dengan bom pertama yang ditemukan oleh pekerja pembinaan ketika kerja mengorek tanah di kawasan itu. - Gambar Bernama
PAPAR: Sebutir lagi bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua dan masih aktif ditemukan di lokasi sama di tapak pembinaan berdekatan sebuah kilang di Kinarut di sini pagi tadi, selepas penemuan pertama Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata pemeriksaan awal mendapati bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) itu bersaiz sama dengan bom pertama yang ditemukan oleh pekerja pembinaan ketika kerja mengorek tanah di kawasan itu.
Beliau berkata selepas menerima laporan kejadian pada pukul 7.30 pagi, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan objek tersebut adalah bom peninggalan Perang Dunia Kedua.
"Kita akan adakan mesyuarat peringkat daerah dengan memanggil agensi terlibat untuk menyelaraskan kerja pemusnahan bom itu... Kita tidak mahu mengganggu ketenteraman awam atau menyebabkan kerosakan harta benda. Kita mahu mendapat kata putus daripada agensi dan syarikat terlibat dahulu sebelum memusnahkannya.
"Maklumat yang kita peroleh menunjukkan bom ini masih aktif dan berbahaya. Oleh itu, kita mahu mengambil tindakan secepat mungkin untuk memusnahkannya...paling penting ialah keselamatan penduduk di sini," katanya ketika ditemui di kawasan kejadian hari ini.
Kamaruddin berkata bom kedua ini ditemui pada jarak kira-kira tiga meter dari lokasi penemuan bom pertama, dan beberapa kawasan berhampiran akan ditutup sementara dan hebahan juga akan dibuat untuk memastikan keselamatan orang awam terjamin.
Pada Selasa lepas, sebutir bom lama sepanjang 120 sentimeter dengan berat 250 kilogram ditemukan oleh pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pembinaan tersebut pada pukul 1.30 tengah hari sebelum bom itu dimusnahkan semalam.
-- BERNAMA
#bom lama #Perang Dunia Kedua #orang awam #keselamatan penduduk
;