Sebutan semula kes pemilik bot pelancong karam 28 Feb

Bernama
Februari 6, 2017 12:58 MYT
Dalam tragedi 10 pagi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum. - fotoBERNAMA
Mahkamah Majistret di sini menetapkan 28 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan seorang pemilik bot katamaran yang karam sehingga mengorbankan tiga pelancong China di Pulau Mengalum, 28 Jan lepas.
Ketetapan itu dibuat Majistret Jessica Ombou Kakayun di Hospital Queen Elizabeth 1 di sini semalam selepas tertuduh Leong Vin Jee, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa penumpang melebihi had dibenarkan lesen bot miliknya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Leong dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Menurut peguam tertuduh, Erward Paul, ketika dihubungi, berkata prosiding mahkamah terpaksa dijalankan di wad hospital bagi memudahkan mahkamah merekodkan keterangan saksi yang masih menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sabtu lepas, tekong bot berkenaan, Sharezza Sailin, 26, dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama dengan Leong.
Dalam tragedi 10 pagi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini 25 mangsa dijumpai termasuk tiga yang maut. -- Bernama
#bot katamaran #Leong Vin Jee #Mahkamah Majistret #pelancong Cina #pemilik bot #Pulau Mengalum #tekong bot
;