Sebutan semula kes Neelofa, PU Riz ditangguh lagi ke 24 September

Astro Awani
Ogos 12, 2021 16:35 MYT
Pengurusan kes membabitkan Neelofa dan PU Riz terpaksa ditangguhkan berikutan Negeri Sembilan masih lagi berada di Fasa Satu PPN. - Gambar fail/ Bernama
SEREMBAN: Sebutan semula kes selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadualkan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, ditangguhkan sekali lagi kepada 24 September ini.
Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan itu, berkata sebutan pengurusan kes berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan Negeri Sembilan masih lagi berada di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kes itu dijadualkan semula berikutan pematuhan kepada Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bil. 9 Tahun 2021.
"Tarikh baharu yang kami terima ialah pada 24 September," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Langgar SOP | Neelofa, suami mengaku tidak bersalah
Sebelum ini, media melaporkan tarikh asal pengurusan kes Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, adalah pada 23 Jun, sebelum ditangguhkan kepada 15 Julai disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, disebabkan PKPD di Seremban ketika itu, ia sekali lagi ditangguhkan kepada hari ini (12 Ogos).
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
BACA: Bukan esok, pengurusan kes Neelofa, PU Riz ditunda ke 15 Julai - Peguam
BACA: Sebutan semula kes Neelofa, PU Riz ditunda sekali lagi ke 12 Ogos - Peguam
PU Riz, 26, didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka.
Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.
Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
#Neelofa #PU Riz #mahkamah #Nilai 3 #karpet #kes mahkamah #sebutan semula #tarikh baharu #langgar SOP #PKP #PKPB
;