Sebutan kes wanita keluarkan wang milik 'Datuk Terlajak Laris' tertangguh akibat banjir

Bernama
November 16, 2015 18:19 MYT
Pada 22 Oktober lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengeluarkan wang tunai berjumlah RM4,500 dari akaun bank milik Aliff Syukri (gambar) pada Julai lepas. - Gambar fail
Sebutan kes seorang wanita yang didakwa mengeluarkan wang daripada akaun bank pengasas produk kecantikan dan kesihatan D'Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, tertangguh tiga jam di Mahkamah Majistret Ampang hari ini setelah banjir kilat melanda beberapa kawasan di Puncak Alam, Selangor awal pagi tadi.
Prosiding kes Hasliani Hashim, 36, bekas pengurus akaun D'Herbs, sepatutnya bermula pada 9 pagi di mahkamah itu tetapi ditangguhkan beberapa kali kerana tertuduh belum tiba setelah terkandas akibat banjir.
Tertuduh tiba di mahkamah pada 11.45 pagi dan sebutan kes itu bermula pada 12.10 tengah hari.
Peguam MK Thas yang mewakili wanita itu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon maaf atas kelewatan kerana kawasan di sekitar kediamannya dinaiki air.
"Tertuduh hadir di mahkamah, mohon maaf atas kelewatan kerana banjir, tetapi tertuduh cuba hadir ke mahkamah secepat yang mungkin," katanya.
Pada 22 Oktober lepas, Hasliani mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengeluarkan wang tunai berjumlah RM4,500 dari akaun bank milik Aliff Syukri pada Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memaklumkan dokumen berkaitan kes berkenaan telah pun selesai dan diserahkan kepada pihak pembelaan bagaimanapun Thas memohon mahkamah memberikan sedikit masa untuk menyemak dan meneliti dokumen berkenaan.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 28 Disember untuk sebutan semula kes.
#Aliff Syukri #D'Herbs #Hasliani Hashim #mahkamah #sebutan kes #tertangguh
;