Sebuah rumah, bengkel dan tujuh kenderaan musnah dijilat api
Adie Sufian Zulkefli
Februari 29, 2024 09:20 MYT
Februari 29, 2024 09:20 MYT
SUNGAI PETANI: Sebuah rumah dan bengkel membaiki kenderaan bersama tujuh buah kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Lebai Man, di sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 6.06 pagi.
“Sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Aslan Yusof tiba di lokasi bersama 12 anggota untuk memadam kebakaran.
"Operasi turut dibantu enam anggota dari BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak di kawasan bengkel membaiki kenderaan dan rumah berkenaan dan operasi pemadaman terus dilakukan.
“Kebakaran turut menyebabkan empat buah kereta dan tiga buah motosikal musnah terbakar.
"Kebakaran rumah itu dianggarkan 90 peratus manakala kemusnahan bengkel pula 80 peratus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ismail berkata, kebakaran itu, bagaimanapun, tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana mangsa tiada di rumah dan bengkel terbabit.
Sehubungan itu, jelas beliau siasatan masih dilakukan bagi mengetahui punca dan kerugian dalam kejadian itu.
"Kerja-kerja pemadaman masih dilakukan bagi memastikan tiada sisa kebakaran di tempat kejadian kerana dibimbangi cuaca kering serta angin kencang ketika ini akan mengakibatkan kebakaran semula hasil dari bara api," kata Ismail lagi.