Sebuah negara tidak mampu tangani ancaman kimia, biologi dan radiologi sendirian - Menteri Singapura

Bernama
Oktober 11, 2022 04:00 MYT
Heng berkata kecanggihan CBR boleh membawa maut dan menyebabkan banyak kematian serta sukar untuk dikesan dan dibendung. - Foto Facebook/Heng Chee How
SINGAPURA: Ancaman Kimia, Biologi dan Radiologi (CBR) tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian kerana ancamannya merentas sempadan dan negara, kata Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How.
"Ia mempunyai implikasi serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa," katanya dalam ucapan perasmiannya pada sidang CBR Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) selama dua hari di sini pada Selasa.
Heng berkata kecanggihan CBR boleh membawa maut dan menyebabkan banyak kematian serta sukar untuk dikesan dan dibendung.
"Serangan CBR oleh pengganas di rantau ini menjadi antara ancaman paling menakutkan buat kami," katanya.
Meskipun ASEAN bernasib baik kerana tidak mengalami serangan CBR besar-besaran di rantau ini namun, "sekurang-kurangnya setakat ini, ancaman itu sangat nyata," katanya.
"Kami tahu sebenarnya bahawa pertubuhan pengganas dan pelaku persendirian telah memikirkan secara serius mengenai penggunaan ejen CBR," katanya.
Pada sidang berkenaan Heng berkata pada 2019 Indonesia pernah menggagalkan satu rancangan bunuh diri melibatkan penggunaan bahan letupan berisi abrin oleh kumpulan Jamaah Ansharut Daulah.
"Abrin ialah racun semula jadi yang terdapat dalam biji tumbuhan rosary pea. Hanya 0.7 mikrogram abrin boleh membunuh seratus orang. Dalam siasatan mereka polis Indonesia merampas 310 gram rosary pea.
"Sekiranya rancangan itu menjadi kenyataan, sukar untuk membayangkan pembunuhan besar-besaran yang akan berlaku," katanya.
Heng berkata kumpulan pengganas dan pelaku perseorangan boleh mengeksploitasi pelbagai jenis bahan CBR.
"Ini menjelaskan keperluan untuk kerjasama antarabangsa serta pengetahuan teknikal dan operasi untuk menangani ancaman CBR secara berkesan," katanya.
Di peringkat dasar, Heng berkata semua negara ADMM-Plus sudah menyertai perjanjian Konvensyen Senjata Kimia (CWC) dan Konvensyen Senjata Biologi (BWC).
"Secara operasinya, kedua-dua cabang tentera dan saintis pertahanan mempunyai peranan penting dalam melakukan respons dan menyiasat insiden CBR.
"Sesungguhnya asas kesiapsiagaan yang baik ialah kerjasama erat. Ini termasuk membangunkan protokol dan menjalankan latihan bersama," katanya.
Pada 2018 Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN mengiktiraf keperluan untuk mengukuhkan kesiapsiagaan dan kerjasama serantau menentang keganasan dan ancaman CBR.
Justeru, Rangkaian Pakar Pertahanan CBR ASEAN telah ditubuhkan dan aktiviti membina kapasiti ADMM untuk bertindak balas terhadap insiden CBR dianjurkan sejak 2019.
-- BERNAMA
#Ancaman Kimia Biologi dan Radiologi #CBR #Heng Chee How #Singapura
;