Sebuah menara sementara BTS akan didirikan di Kampung Gelong Badak
Bernama
Julai 23, 2021 18:31 MYT
Julai 23, 2021 18:31 MYT
BACHOK: Sebuah menara sementara Base Transceiver Station (BTS) akan didirikan Kampung Gelong Badak di sini bagi memberikan perkhidmatan liputan komunikasi dan internet kepada penduduk setempat berikutan sebuah menara sedia ada di lokasi berkenan tumbang, semalam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebuah menara milik Redtone yang dikongsi bersama dengan Celcom, Digi dan Maxis telah tumbang, dipercayai akibat kejadian hujan lebat dan angin kencang di kampung itu, pada pukul 7 malam.
Menurut MCMC ekoran kejadian, gangguan liputan komunikasi dan internet dijangka berlaku bagi pelanggan Celcom, Digi dan Maxis di kawasan sekitarnya.
"Pihak MCMC dan Redtone telah turun ke lokasi pagi tadi bagi menjalankan siasatan lanjut selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengatasi masalah liputan yang terganggu akibat kejadian.
"Sebagai langkah awal, sebuah menara sementara BTS akan didirikan di lokasi kejadian dengan secepat mungkin bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat buat sementara waktu. Kerja-kerja memulihkan liputan dijangka siap selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA