Sebenarnya, Jho Low dapat bantuan penyanyi rap AS?
Sinar Harian
Ogos 30, 2018 15:33 MYT
Ogos 30, 2018 15:33 MYT
Ahli perniagaan kontroversi dan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan mendapat bantuan bekas penyanyi rap Amerika Syarikat (AS) bagi menjadi perantara memudahkannya membayar bil-bil yang diperlukan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan Thailand juga didakwa melakukan perkara sama terhadap Jho Low yang kini hidup dalam buruan.
Kedua-dua mereka dilaporkan melunaskan bayaran fi guaman serta penginapan ketika sistem kewangannya dipantau serta diawasi.
Malaysiakini yang memetik laporan The Wall Street Journal (WSJ) menjelaskan pihak berkuasa AS kini sedang mengesan dua individu terbabit.
Sumber Jabatan Kehakiman (DOJ) menjelaskan badan perundangan itu sedang meneliti maklumat bagi menentukan pembabitkan ahli perniagaan Thai, Phengphian Laogumnerd, dan bekas penyanyi rap AS yang juga antara pengasas kumpulan hip-hop Fugees, Pras Michel dalam memastikan peranan mereka membantu Jho Low membuat bayaran.
"Selama sekurang-kurangnya setahun, Jho Low bergantung kepada Phengphian untuk membayar perbelanjaan penginapannya di Hong Kong dan Macau, selain fi guaman dan khidmat nasihat serta memastikan kapal persiarannya yang bernilai AS$250 juta, Equanimity, dilengkapi kakitangan serta diselenggara sepenuhnya sehinggalah ia disita awal bulan ini," kata laporan berkenaan.
Menurut WSJ lagi, penyiasat DoJ sedang meneliti segala rekod dan aliran wang yang ada kaitan dengan pelbagai syarikat milik Phengphian di Hong Kong, selain di Kepulauan British Virgin Islands bagi memastikan sama ada wang Jho Low terbabit atau tidak.
Laporan itu juga memetik wakil Pengphian yang menafikan ahli perniagaan terbabit menerima sebarang wang daripada Jho Low.
Sementara itu peguam Michel juga dipetik sebagai berkata, bekas penyanyi rap terbabit tidak melakukan sebarang kesalahan.
#1MDB
#Amerika Syarikat
#British
#Equanimity
#Fugees
#Hong Kong
#Jho Low
#Macau
#Malaysiakini
#Phengphian
#Pras Michel
#Wall Street Journal
#WSJ