'Sebelum PAC, Jawatankuasa Pemilih perlu dirombak terdahulu' - Rahman Dahlan
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 11, 2015 17:00 MYT
Ogos 11, 2015 17:00 MYT
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kini menyiasat dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdepan satu lagi halangan apabila anggota baharunya hanya boleh dilantik setelah Jawatankuasa Pemilih Parlimen dirombak semula.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata rombakan Jawatankuasa Pemilih tersebut perlu dibuat kerana bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang digugurkan dalam Kabinet berada dalam jawatankuasa itu yang diberi tanggungjawab melantik ahli PAC yang baharu.
"Ahli PAC hanya perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilih, tetapi Jawatankuasa Pemilih juga ada masalah sebab dengan berlakunya perkembangan terkini.
"MIC... Palanivel (dahulu) berada dalam jawatankuasa lantikan, jadi bagaimana? Adakah dia atau (pemangku presiden MIC) Datuk Seri S. Subramaniam? Pastinya kita ada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menjadi Ketua Whip di Parlimen atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sekarang dia bukan lagi Timbalan Perdana Menteri.
"(Jadi) Jawatankuasa Pemilih perlu dirombak berdasarkan faktor semasa," ujar Abdul Rahman selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Program Kayuhan Hari Malaysia 2015 di sini hari ini.
Katanya, jika perkara tersebut tidak dijalankan, maka tiada fungsi untuk melantik ahli baharu PAC kerana pemilihan hanya boleh dibuat menerusi Jawatankuasa Pemilihan.
"Beberapa langkah perlu diselesaikan dahulu. Bukan hanya panggil sesi Parlimen (sidang khas Dewan Rakyat) kemudian buat undian terhadap Pengerusi dan anggota PAC. Ada langkah-langkah yang perlu diikut," katanya.
Jelas Abdul Rahman, Jawatankuasa Pemilih dianggotai oleh Speaker Dewan Rakyat dan ketua-ketua parti di dalam Parlimen.
"Maka mereka perlu lantik siapa yang akan menjadi Pengerusi (PAC) dan akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diputuskan oleh ahli Dewan Rakyat. Jadi Jawatankuasa Pemilih juga perlu dirombak semula," jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera mengadakan Persidangan Khas Parlimen bagi mengisi kekosongan jawatan termasuk pengerusi baharu PAC.
Shahrir berkata kekosongan itu tidak boleh dilengahkan lagi bagi membolehkan PAC dapat berfungsi semula termasuk menyegerakan siasatan kes 1MDB yang kini tertangguh.