Sebat pelajar: Pembantu warden madrasah ditahan reman bantu siasatan

Shahrul Hassan
April 23, 2017 11:39 MYT
Majistret Mazana Sinin, membenarkan warden yang berusia 29 tahun itu direman bermula hari ini hingga Rabu. - Astro AWANI
Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap seorang pembantu warden asrama madrasah tahfiz swasta bagi membantu siasatan kes menyebat seorang pelajar sebuah madrasah di sini.
Majistret Mazana Sinin, membenarkan warden yang berusia 29 tahun itu direman bermula hari ini hingga
Rabu.
Warden terbabit tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi tadi dengan memakai baju lokap berwarna jingga sebelum diiringi polis keluar meninggalkan perkarangan mahkamah pada 10.20 pagi.
Dia ditahan polis di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi pukul empat petang semalam, bagi membantu siasatan terhadap satu laporan yang dibuat pada Selasa lalu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Komisioner Rahmat Othman mengesahkan kertas siasatan sudah dibuka terhadap suspek.
Hasil siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapati warden itu telah memukul mangsa serta 15 pelajar lain pada bahagian kaki kerana membuat bising di surau pada tiga minggu lepas.
Pada ketika itu salah seorang mangsa yang berusia 11 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan sehingga mengadu mengalami sakit dan bengkak di bahagian kaki pada 17 April seterusnya dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 19 April lalu.
Semalam dilaporkan pelajar terbabit terpaksa menanggung kecacatan kekal apabila kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pihak hospital selepas didapati mengalami pendarahan dan luka dalaman serta jangkitan kuman.
Pihak polis juga telah mengambil rakaman CCTV sementara menunggu laporan penuh daripada hospital.
Kes kini disiasat mengikut seksyen 31(1) Akta Kanak Kanak 2010.
#dera pelajar #dirotan #Kota Tinggi #sebat #tahfiz #warden asrama
;