Sebat, denda kerana cubaan aksi 'lesbian': Suhakam kecam keputusan mahkamah Terengganu

Astro Awani
Ogos 15, 2018 23:14 MYT
Hukuman yang dikenakan ke atas dua wanita tersebut disifatkan bertentangan dengan nilai martabat manusia. - Gambar hiasan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam keputusan Mahkamah Syariah Terengganu pada 12 Ogos 2018 yang menjatuhkan hukuman enam sebatan masing-masing kepada dua wanita serta denda sejumlah RM3,300 kerana cuba melakukan hubungan sejenis di Dungun.
“Hukuman sebegitu adalah menghina, merendahkan dan seolah-olah suatu usaha tindakan memalukan wanita-wanita itu dan keluarga mereka.
“Ia sekali gus bertentangan dengan nilai martabat manusia, dan tidak selari dengan komitmen menjaga maruah seseorang seperti yang dianjurkan dalam setiap agama,” ujar Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali ismail dalam satu kenyataan hari ini.
Suhakam juga menegaskan, hukuman sebat dalam keadaan apapun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa.
Pada Ahad lalu (2 Ogos), Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengenakan hukuman sebatan dan denda ke atas sepasang wanita kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, di Dungun, dalam satu insiden pada April lalu.
BACA: Cubaan 'buat onar' dalam kereta gagal, pasangan lesbian di Dungun didenda, disebat
Bukan itu sahaja, kedua-dua wanita berusia 32 dan 22 tahun itu turut berdepan hukuman empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail selepas pasangan itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.
#denda #Hukuman #lesbian #mahakamah tinggi terengganu #sebatan #Suhakam #wanita
;