Sebaran mesej serangan ekstremis di Kuala Lumpur palsu - Polis
Astro Awani
Julai 16, 2015 11:57 MYT
Julai 16, 2015 11:57 MYT
Sebaran mesej kononnya beberapa lokasi di Kuala Lumpur akan diserang pihak ekstremis ekoran insiden di Plaza Low Yat baru-baru ini adalah tidak benar, kata polis.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata pihaknya telah mengesan beberapa sebaran maklumat melalui media sosial yang menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika mengunjungi beberapa lokasi di Kuala Lumpur yang dikhuatiri diserang oleh pihak ekstremis.
“Selain itu, turut diviralkan bahawa ada perancangan untuk melakukan pertempuran kaum atas nama maruah bangsa dan agama,” polis berkata dalam kenyataan itu.
“Kesemua berita ini adalah palsu semata-mata dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan merosakkan keharmonian kaum dan ketenteraman awam di negara ini,” katanya lagi.
Menurut polis, insiden yang yang berlaku di Plaza Low Yat hanya melibatkan dua pihak dan ia tiada kaitan dengan isu perkauman sama sekali.
“Walaupun isu ini dilihat kian reda dan tidak terkesan sebarang perancangan untuk melakukan serangan kaum, namun tindakan tidak bertanggungjawab pengamal media sosial yang terus memanipulasi isu ini boleh menambahkan ketegangan kaum serta menyemarakkan kembali isu ini,” katanya lagi.
Menurut polis lagi, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai sebaran maklumat dari sumber yang tidak sah dan segera merujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan lanjut.