Sebar gambar dan butiran peribadi wanita mengamuk adalah haram - Ustaz Zaharuddin
Aizat Sharif
Julai 17, 2014 12:18 MYT
Julai 17, 2014 12:18 MYT
Menyebarkan gambar dan butiran peribadi wanita yang terlibat dalam pelanggaran kecil di Kuantan tempoh hari adalah haram kerana ianya mengaibkan seseorang.
Pendakwah bebas, Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman dalam posting terbaru pada laman Facebooknya menjelaskan bahawa jika keaiban itu tidak melibatkan kebaikan awam maka tidak boleh disebarkan di khalayak awam.
“Namun, jika melibatkan urusan pentadbiran awam dan kepentingan mereka, maka barulah akan wujudnya keharusan iaitu bagi tujuan menyekat kezaliman ke atas kepentingan ramai,” katanya.
Tambahnya lagi, memanglah wanita itu bersalah namun seseorang itu sentiasa mempunyai ruang untuk memohon kemaafan atas kesalahan yang dillakukan tetapi segala penyebaran luas dan membuat gambar lucu wanita berkenaan adalah berdosa dan pasti akan merosak Ramadan si para pengutuk dan penyebar.
“Apakah penyakit yang melanda manusia sehingga seolah tiada langsung kewarasan memikirkan kesan jangka panjang terhadap wanita itu dan keluarganya,”.
Isu pelanggaran tersebut memang kecil namun melihat respon dan reaksi negatif awam terhadap kes tersebut, itu yang besar dan lebih membimbangkan berbanding tindakan agresif individu wanita itu dalam kesnya.
Insiden kemalangan kecil yang berlaku pada tengah hari 14 Julai tersebut telah menaikkan darah wanita berkenaan menyebabkan dia mengeluarkan pengunci stereng kereta dan cuba bersemuka dengan pesara kerajaan tersebut.
Kejadian tersebut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga video berdurasi 2.33 yang dimuat naik di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan juga YouTube menjadi ‘viral’ dan ‘trending’.
Malah, apa yang lebih dikesalkan dalam video berkenaan wanita itu turut memaki hamun lelaki berkenaan dengan kata-kata nista seperti “Ini kereta barulah bodoh!” sambil menghentak pengunci stereng yang dipegangnya itu ke kereta milik lelaki warga emas berkenaan.
Selain itu cacian seperti “I don’t care, pay me RM2000 now!”, “you very stupid!” dan kata cacian berbaur perkauman kedengaran di penghujung video tersebut.
Meskipun begitu, pesara yang dikenali sebagai ‘Uncle Sim’ itu tidak mahu memanjangkan perkara tersebut malah memaafkan wanita berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memandang serius perkara itu berkata wanita itu akan dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan seperti pembuli jalan raya dan kini kertas siasatan terhadap tindakannya itu telah dibuka.