Sebar berita palsu berkenaan COVID-19, seorang nelayan disiasat

Vivi Sumanti
Februari 15, 2020 17:28 MYT
Lelaki terbabit yang bekerja sebagai nelayan itu menyebarkan maklumat tidak benar berkenaan menerusi WhatsApp. - Gambar hiasan
Ekoran penyebaran berita palsu berhubung koronavirus (COVID-19), Polis Kelantan sudah memanggil seorang lelaki berusia 64 tahun untuk diambil keterangan.
Lelaki terbabit yang bekerja sebagai nelayan itu menyebarkan maklumat tidak benar berkenaan menerusi WhatsApp.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, baru-baru ini.
"Hasil siasatan kita berjaya mengesan lelaki terbabit dan sudah mengambil keterangan sebelum membuka satu kertas siasatan," katanya.
Pada 9 Februari lalu tular satu rakaman video berdurasi 18 saat yang menunjukkan seorang pesakit yang didakwa dijangkiti COVID-19, dari negeri itu dibawa menaiki ambulans untuk rawatan.
Video berkenaan turut menunjukkan tiga kakitangan hospital berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi mengusung lelaki itu untuk dihantar ke Hospital Tumpat.
Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Kelantan telah mengesahkan lelaki berusia 50-an itu tidak dijangkiti COVID-19 dan hanya menunjukkan tanda jangkitan saluran pernafasan.
BACA: 'Bukan koronavirus tetapi jangkitan saluran pernafasan'
Terdahulu, beliau menyempurnakan Perasmian Kampung Angkat Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu-Taman Binaraya 3, Limbat yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud dan ADUN Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus.
#Abdullah Mohamad Piah #berita palsu #COVID-19 #Kelantan #koronavirus #PDRM #polis
;