Sebanyak 743 calon UPSRA Wilayah Persekutuan dapat 7A - JAWI

Bernama
November 16, 2016 08:08 MYT
UPSRA dijalankan serentak di seluruh Wilayah Persekutuan dari 6 hingga 13 Okt lepas. - Gambar fail
Sebanyak 743 daripada 6,668 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) tahun ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memperoleh 7A dalam semua mata pelajaran.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Yaakob Abdul Rahim berkata peratus kelulusan keseluruhan tahun ini meningkat kepada 93 peratus berbanding 88.9 peratus tahun lepas.
"Seramai 479 calon lagi memperoleh 6A dalam peperiksaan itu. Secara keseluruhan, pencapaian UPSRA lebih baik berbanding tahun sebelumnya yang memberi petanda positif kepada perkembangan sistem pendidikan Sekolah Rendah Agama (SRA)," katanya semasa mengumumkan keputusan itu di sini pada Selasa.
Yaakob berkata mata pelajaran al-Quran berjaya mengekalkan 100 peratus lulus bagi semua calon bagi lima tahun berturut-turut, manakala peratus kelulusan bagi mata pelajaran Tajwid dan Akhlak, masing-masing adalah 95 peratus, Feqah (93 peratus), Tauhid dan Bahasa Arab masing-masing 91 peratus dan Sirah (84 peratus).
Menurutnya tiga sekolah terbaik keseluruhan adalah SRA Al Ghazali, Kepong; SRA AL-Suyuthi, Kampung Pandan dan SRA Al-Ghufran, Pinggir Taman Tun Dr Ismail.
UPSRA dijalankan serentak di seluruh Wilayah Persekutuan dari 6 hingga 13 Okt lepas.
Sementara itu Yaakob berkata JAWI akan menaik taraf dua lagi SRA di ibu negara kepada Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) tahun depan iaitu di SRA Abdullah Ibnu Abbas, Pantai Dalam dan SRA Abu Dzar al-Ghifari, Kepong.
"Untuk fasa pertama tahun ini, dua sekolah menjadi perintis pelaksanaan SIRAJ iaitu SRA Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak dan SRA Al-Alusi, Kampung Keramat yang melibatkan 350 murid tahun satu," katanya.
SIRAJ menggabungkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) dengan waktu persekolahan bermula 7.30 pagi hingga 4 petang. -- Bernama
#JAWI #UPSRA #Wilayah Persekutuan #Yaakob Abdul Rahim
;