Sebanyak 574,886 permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah - Anwar
Bernama
Mac 28, 2023 13:15 MYT
Mac 28, 2023 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat hari ini (28 Mac) terdapat tambahan sebanyak 574,886 permohonan baharu yang diterima bagi inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau berkata pembayaran fasa pertama STR telah dilaksanakan pada 17 Jan lepas melibatkan seramai 8.7 juta penerima melibatkan pembayaran berjumlah RM1.67 bilion, fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 5 April, manakala fasa ketiga akan dilakukan pada Ogos atau selewat-lewatnya Oktober.
"Berdasarkan kajian yang dibuat, setakat 15 Mac lalu, terdapat sejumlah 123,243 KIR dalam kalangan miskin tegar telah berdaftar eKasih, tetapi saya sengaja kembangkan kepada jumlah 130, 000 KIR kerana saya bimbang ada beberapa jumlah baharu yang tidak termasuk sepanjang tahun ini.
"Kalau ikut perkembangan sekarang sehingga Mac dan dengan keupayaan jabatan keseluruhannya yang turut diselenggara oleh pejabat-pejabat daerah, kita mampu mengenal pasti dan menokhtahkan kemiskinan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu pendekatan terbaharu dan kemajuan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik agar dapat membangunkan negara serta masyarakat Madani yang menjadi contoh di rantau ini.
Sistem eKasih adalah pangkalan data kemiskinan nasional di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) bertujuan untuk mendaftarkan golongan miskin di Malaysia berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Perdana Menteri berkata selain STR, kerajaan turut melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan dengan memberi bantuan kepada 400,000 golongan yang mudah terjejas serta melaksanaan konsep Payung Rahmah melibatkan keseluruhan subsidi sebanyak RM64 bilion.
Melalui IPR, sejumlah RM750 juta diperuntukkan melalui tiga usaha iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
"Bagi program IPR ini dalam tempoh sebulan, lebih 22,000 yang telah berdaftar dan ini adalah perkembangan positif," kata Anwar.
-- BERNAMA