Sebanyak 23 sungai tercemar di Malaysia, 13 sungai di Johor

Umavathi Ramayah
November 27, 2022 14:51 MYT
Peserta kempen KUDAH di Taman Rekreasi Tasik Baginda Bangi pada Ahad yang melibatkan pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS)serta pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten). - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 sungai di Malaysia disenaraikan tercemar sepanjang tahun lalu dengan 13 daripadanya berada di negeri Johor.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, sementara lima sungai terletak di Pulau Pinang, dua di Selangor dan masing-masing satu di Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Justeru, sebagai memelihara keindahan sungai dari terus tercemar, orang ramai disaran supaya mengadakan kempen kutip sampah sambil riadah (KUDAH) di kawasan masing-masing.
"Kalau kita nak sungai kita kotor, sama-samalah kita kotorkan sungai kita, jangan ambil kisah sungai kita. Biar sungai kita jadi sungai yang tercemar dan akhirnya orang kenal kita dengan sungai tercemar, kemudian kita jadikan ia sebagai sumber minuman," katanya, memberi gambaran akibat buruk.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kempen KUDAH di Taman Rekreasi Tasik Baginda Bangi, di sini pada Ahad.
Selain Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), kempen KUDAH itu turut disertai pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
#sungai tercemar #kempen kutip sampah #alam sekitar #Kementerian Alam Sekitar dan Air
;