Sebanyak 15 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijadual siap hujung tahun depan - Shahelmey

Bernama
Mei 16, 2023 17:36 MYT
Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kini pada tahap 79.06 peratus pembinaan. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 pakej kerja dalam Fasa 1, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang kini pada tahap 79.06 peratus pembinaan, dijadual siap sepenuhnya pada hujung tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau berkata dua daripada 15 pakej berkenaan telahpun disiapkan iaitu Pakej 5 menaik taraf jalan dari Donggonggon ke Jalan Papar Spur yang dibuka kepada pengguna pada November lepas, manakala Pakej 27 iaitu jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32 dibuka pada Ogos lepas.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, dua lagi pakej kerja iaitu Pakej 15 melibatkan Jalan Tawau-Semporna dan Pakej 21, Jalan Lahad Datu Bypass dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya pada pertengahan tahun ini.
"Daripada 15 pakej kerja ini, dua pakej sudah siap, dua pakej lagi dijangka siap (tidak lama lagi) manakala 11 pakej lagi kita harap akan dapat disiapkan sebelum akhir 2024. Keseluruhan kita ada 35 pakej dalam Fasa 1 ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Media dan Aidilfitri Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di sini hari ini.
Katanya baki 20 pakej lagi diharap akan dapat dimulakan sebelum akhir tahun ini, dan pakej terlibat kini berada dalam proses tender yang memerlukan keputusan daripada kerajaan Persekutuan.
Shahelmey berkata di peringkat negeri, pihak kerajaan sudah bersedia dari segi pra-tender bagi memulakan projek di bawah 20 pakej itu yang kebanyakkannya terletak di kawasan Pantai Timur.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer yang bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin sehingga ke Tawau, telah dimulakan pada Julai 2016.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lepas mengumumkan peruntukan RM20 billion untuk menyegerakan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road sepanjang lebih 1,000 kilometer.
Sementara itu, Shahelmey menafikan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah punca utama berlakunya banjir kilat, kerana menurutnya sebelum projek itu dimulakan, semua perancangan dan reka bentuk jalan raya telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk sistem perparitan dan kemudahan pengguna jalan raya.
Beliau berkata setiap pandangan telah diambil kira seperti daripada Jabatan Pengairan dan Saliran dan pihak yang berkaitan sebelum projek itu dimulakan, sewaktu proses pembinaan dan selepas pembinaan.
"Faktor lain berlakunya banjir kilat berkemungkinan berpunca daripada kurang penyelenggeraan kawasan parit dan taburan hujan yang turun dengan tinggi melebihi daripada jangkaan juga menjadi antara penyebab banjir kilat kerana perubahan cuaca pada ketika ini," katanya.
-- BERNAMA
#lebuh raya #Pan Borneo #shaelmey yahya #kerja raya
;