'Sebalik Yamashita dan Percival' diangkat ke persada sastera dunia

Harits Asyraf Hasnan
Februari 7, 2021 09:00 MYT
"Saya mempersembah dan memperlihatkan bagaimana tidak berkesannya cara untuk menyelesaikan krisis melalui peperangan", kata Dr Shaari Isa. - Foto Shaari Isa
KUALA LUMPUR: MAKNA disebalik rapuhnya manfaat peperangan telah mengangkat novel terjemahan 'Sebalik Yamashita dan Percival' sebagai antara 49 buku terpilih bagi pencalonan Dublin Literary Award 2021.
Bagi penulisnya, Datuk Dr Shaari Isa, isu kemusnahan, kesulitan dan keperitan hidup yang dideritai manusia mungkin menjadi antara sebab novel itu diangkat di peringkat antarabangsa.
"Manusia cuba menyelesaikan masalah melalui peperangan tetapi masa telah tiba untuk kita cuba menyelesaikan masalah manusia melalui cara lain.
"Melalui novel ini, saya mempersembah dan memperlihatkan bagaimana tidak berkesannya cara untuk menyelesaikan krisis melalui peperangan.
"Ini kerana melalui peperangan, kita membawa kepada kemusnahan, kepada masyarakat, keazaban dan keperitan kepada manusia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pesara pendidik berusia 87 tahun itu berkata, dunia kini semakin sedar bahawa peperangan tidak akan membawa apa-apa kebaikan.
"Mungkin pada zaman ini, orang mula sedar bahawa peperangan ini tidak membawa manusia ke mana-mana.
"Kita telah tubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk selesaikan (krisis) melalui keamanan.
"Namun, sehingga sekarang ini, penyelesaian ini tidak begitu berkesan sebab peperangan dan pertelingkahan manusia kian berlaku.
"Jadi sekarang sudah sampai bagi manusia sejagat melihat masalah ini sebagai masalah utama," katanya.
Bekas akauntan profesional itu kini selesai menyiapkan dua lagi karyanya dengan mengekalkan tema keamanan, kemanusiaan sejagat dan perpaduan.
Novel yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada 2015 itu diterjemah ke dalam bahasa Inggeris pada 2019.
Senarai pendek anugerah itu dijangka akan diumumkan pada 25 Mac sementara pemenang bakal diketahui pada 20 Mei nanti.
#Datuk Dr Shaari Isa #Dublin Literary Award 2021 #Sebalik Yamashita dan Percival #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #PBB #Beyond Yamashita and Percival
;