Sebak, nukilan Ketua JSJ Selangor iringi pemergian Allahyarham Koperal Safwan
Astro Awani
Mei 4, 2020 14:31 MYT
Mei 4, 2020 14:31 MYT
INI adalah nukilan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat kepada Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang meninggal dunia pada pagi Ahad.
Allahyarham maut selepas dilanggar seorang pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika satu sekatan jalan raya diadakan berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
SALAM para Pejuang Pejuang Sang Saka Biru,
Saya diarahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin untuk mengiringi jenazah anggota kita yang terkorban semasa menjalankan tugas Op COVID-19 di Kajang.
Hari ini (Isnin), lebih kurang jam 2.30 pagi, setelah semua prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diselesaikan, saya bersama konvoi meninggalkan Hospital Serdang mengiringi jenazah untuk ke tapak persemadian di Perak.
Lebih kurang jam 5.30 pagi kami sampai di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak. Sebagaimana biasa, berlandaskan esprit de corps pasukan sahabat daripada IPK Perak sedia menunggu menghulurkan segala bantuan.
Apabila tiba di tanah perkuburan hati saya mula rasa sarat melihat keluarga dan adik adik arwah sudah sedia menunggu. Bapa kepada arwah, Sarjan bersara Muhammad Ismail Othman, (Ex VAT69) juga ada disitu.
Tuan-tuan dan puan-puan ada anak, saya ada anak, kita semua ada anak dan ini anak beliau.
Semasa van jenazah sampai, beliau minta kebenaran untuk menatap wajah anaknya yang telah kaku itu.
Untuk makluman, bapa arwah hanya dapat menunggu di Tanjung Rambutan kerana tidak dapat bersama di Hospital Serdang atas sebab kesihatan, jenazah telah siap kafan di Hospital Serdang.
Sebagai seorang bekas anggota, amat tertib cara beliau bila bercakap dengan pegawai atasan.
Dia dah sakit, tapi digagahnya juga untuk bercakap sebagai seorang anggota yg meminta izin daripada pegawainya.
Saya benarkan...
Menitik air mata saya bila melihat beliau mengusap wajah jenazah anak beliau sambil bertasbih menguatkan semangatnya sendiri.
Sumpah..memang sebak betul...
Di samping itu saya tidak tahu apa bauran rasa yang ada dalam diri beliau semasa saya serahkan Panji Sang Saka Biru.
Dibawah panji itulah beliau membesarkan sembilan orang anaknya dan dibawah panji itu jugalah seorang anaknya dikembalikan semula kepada Allah Azzawajalla.
Tetapi, beliau masih lagi mendakap panji pasukan yang saya sampaikan dengan wajah yang berjuta rasa itu, terketar-ketar menahan sebak.
Akhirnya jenazah dikebumikan sewaktu azan subuh mula dilaungkan, satu demi satu wajah bapa, ibu dan lapan orang adik beradik yang sedang duduk dalam penjarakan sosial saya perhatikan, wajah mereka masing masing menceritakan berjuta sayang dan rindu mereka kepada arwah.
Arwah kini menjadi satu bukti lakaran kesetiaan tugas kita kepada negara, apa lagi bukti yg perlu ditunjukkan jika nyawa yang menjadi galang gantinya?
Beliau anggota biasa tetapi kematiannya luar biasa, ketika ada antara kita yg sedang lena diulit mimpi bersama keluarga, sedang arwah di medan menjemput mara.
Kepada arwah kita sedekahkan bacaan Surah Al Fatihah, semoga tenang dan damai di sana dalam pelukan rahmat Allah swt dan semoga diterima sebagai seorang syuhada.
Kepada semua Pejuang Pejuang Sang Saka Biru,
Kalau bukan kita siapa lagi..?