Sebak meniti usia 68 tahun, Fauziah Nawi berdoa nyawanya tidak diambil musim COVID-19

Harits Asyraf Hasnan
Mei 29, 2021 16:58 MYT
"Ya Allah ya tuhanku, kalau Kau nak cabut nyawa aku, janganlah musim COVID-19 ini," kata seniwati Fauziah Nawi dalam nada sebak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menjengah usia 68 tahun bulan hadapan, seniwati, Fauziah Nawi sangat khuatir dengan situasi COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Kes harian COVID-19 yang kini menghampiri lima angka turut menyebabkan beliau rasa marah susulan sifat penting diri sesetengah pihak yang tidak mahu menerima suntikan vaksin.
"Ini untuk lindungi diri kita. Kerajaan sudah tolong dan lindungi kita, kita pula tak mahu dicucuk.
"Sesiapa yang 18 tahun ke atas tolonglah pergi (ambil) vaksin termasuk mereka yang sudah dapat tarikh temu janji, pergilah," rayu primadona tersohor itu dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.
COVID-19 | Antara hidup dan mati warga emas - Fauziah Nawi
Berkongsi suara hatinya, kekecewaan Fauziah tambah berganda apabila mendengar berita ramai rakyat di negeri kelahirannya, Perak tidak hadir temu janji vaksin yang ditetapkan.
"Kenapa dengan orang Perak ini? Sampai 10,000 orang tak datang. Sudah dapat temu janji, pergilah.
"Kamu semua ini tak percaya ke COVID-19 ini membunuh? Kalau satu rumah dah dijangkiti, baru nak menyesal.
"Berdoalah supaya tidak ada apa yang serius berlaku kerana kalau meninggal dunia sekali pun, tiada siapa boleh ziarah kita," ujarnya dalam nada merintih.
Bagaimanapun, bekas juruhebah radio itu tidak menolak kemungkina segelintir daripada individu yang tidak hadir proses vaksinasi mempunyai alasan yang munasabah seperti tidak mempunyai pengangkutan, tidak tahu tarikh temu janji atau tiada wang untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).
"Saya pun kalau tak ada orang tolong daftar, saya pun tak reti sebab saya ini buta IT (teknologi maklumat)... saya ini sudah 68 tahun.
"Makcik, pakcik yang lain (tidak hadir vaksin) itu pun mungkin ada masalah yang sama. Anak-anak mungkin tak ada atau tidak tolong, tinggal jauh. Nak buat macam mana?
"Cuba KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) pula pergi jumpa mereka. Hari ini buat di kampung ini, esok kampung lain. Buatlah dekat dewan orang ramai. Apa salahnya?" Fauziah memberi pendapat.
Pelakon filem Sayang Salmah itu bakal menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 2 Jun ini.

Menjengah usia 68 tahun bulan hadapan, seniwati, @fauziahnawi akui khuatir akan situasi semasa #COVID-19 yang melanda negara ketika ini. Ikuti perkongsian beliau dalam AWANI 7:45 malam ini.#AWANInews #HapusCOVID19 pic.twitter.com/ipLWSfQyDv

— Astro AWANI (@501Awani) May 29, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bimbang dan gusar dengan perkembangan semasa pandemik itu, dalam doanya setiap masa, aktivis teater itu memohon kepada Allah agar beliau dijauhi daripada wabak tersebut.
"Ya Allah ya tuhanku, kalau Kau nak cabut nyawa aku, janganlah musim COVID-19 ini. Bukan apa, takut tengok.
"Siapa nak tengok saya dekat kubur? Tengok saya buat kali terakhir.... adik-beradik tak boleh tengok.
"Kalau (meninggal dunia) disebabkan COVID-19, tayamum sahaja, tak dimandikan, tayamum sahaja. Berbungkus sahaja la," katanya dalam nada sebak.
#Fauziah Nawi #vaksin #PPV #meninggal dunia #seniwati Fauziah Nawi #COVID-19 #jangkitan COVID #meninggal dunia COVID-19 #suntikan #galak vaksin #jom vaksin
;