Sebak, lima sekeluarga mangsa kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad

Astro Awani
Februari 9, 2019 11:12 MYT
Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Mas kira-kira jam 5 petang tadi. - Foto Astro AWANI
Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit di sini selamat di kebumikan dalam satu liang lahad.
Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Mas kira-kira jam 5 petang tadi.
Sebelum itu kelima-lima jenazah disembahyangkan di Masjid Jalan Pusara.
Suasana pilu mengiringi sepanjang pengebumian kesemua mangsa yang dihadiri lebih 300 ahli keluarga dan penduduk kampung.
BACA: Lima sekeluarga maut kereta rempuh pokok
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi tadi itu, kereta Proton Wira yang dinaiki enam beranak itu dipercayai terbabas dan melanggar sepohon pokok di seberang jalan.
Ketika kejadian kesemua mangsa dari arah Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.
Nahas itu mengorbankan pasangan suami isteri Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, Nur Syaazlien Syarizam salleh, 21, dan anak mereka Nur Khaira Aisyah Mohd Kharulinzam, lapan bulan.
Turut terkorban di tempat kejadian Muhammad Nashrullah Salleh, 5 tahun.
Seorang lagi mangsa Rozilawati Mustafa@Razali, 43, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Sementara itu seorang lagi mangsa dalam kenderaan berkenaan, Muhammad Khairul Haziq Abdul Hadi, lima tahun yang parah masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.
#Hospital #jenazah #keluarga #kemalangan #Kuala Neruds #Kuala Terengganu #liang lahad #mangsa #maut #meninggal dunia