Sebak, lagu 'Bertemu dan Berpisah' iringi persemadian pemandu SUV Mazda
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 24, 2019 12:46 MYT
Januari 24, 2019 12:46 MYT
Ahli keluarga dan sahabat tidak dapat menahan perasaan ketika mereka menyanyikan lagu 'Bertemu dan berpisah' dan mengungkapkan 'selamat jalan Moey Yun'. - Foto Astro AWANI
Mayat pemandu SUV Mazda CX5, mendiang Moey Yun Peng, yang maut dalam kemalangan dengan kenderaan lain di KM 4.0 di Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas sempurna dibakar dan disemadikan di Krematorium Berapit, Bukit Mertajam jam 11.45 pagi Khamis.
Suasana pilu menyelubungi pusat pembakaran mayat sebaik jasad mendiang tiba kira -kira jam 11.30 pagi diiringi saudara lelaki dan perempuan mendiang.
Ahli keluarga dan sahabat tidak dapat menahan perasaan ketika mereka menyanyikan lagu
'Bertemu dan berpisah' dan mengungkapkan 'selamat jalan Moey Yun' pada upacara penghormatan terakhir itu.
Terdahulu, lebih 200 ahli keluarga dan rakan melakukan upacara keagamaan dan penghormatan terakhir di rumah mendiang di Taman Kempas, Butterworth.
Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad, SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng, seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan Selasa petang.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang.