Sebak dengar tangisan bayi! Jiran bantu selamatkan ibu bersalin dalam banjir
Pa and Ma
Disember 25, 2021 10:15 MYT
Disember 25, 2021 10:15 MYT
BANJIR melanda beberapa buah negeri baru-baru ini betul-betul perit terutama yang mengalaminya.
Kemusnahan rumah, harta benda dan paling terkesan kehilangan insan tersayang yang menjadi korban banjir turut menyebabkan ramai trauma.
Setelah beberapa hari banjir berlaku, pelbagai kisah dikongsikan.
Bukan setakat mangsa yang terperangkap tak dapat bekalan makanan dan berada di bumbung untuk menyelamatkan nyawa, tetapi satu video yang tular di media sosial menunjukkan seorang wanita yang terperangkap dan dikatakan bersalin dalam keadaan serba kekurangan disebabkan kawasan rumahnya ditenggelami air benar-benar menyentuh hati orang ramai.
Tangisan bayi dalam banjir
Salah satunya adalah perkongsian daripada seorang Facebook atas akaun Ain Fatin Lyana yang memuat naik video di mana seorang seorang wanita dan bayinya meminta tolong jiran-jiran menyelamatkan mereka.
Dalam video tersebut, dapat dengar bunyi suara tangisan bayi dan jeritan meminta tolong seorang wanita.
Jiran tetangga yang berada di sekitar itu sama-sama membantu walaupun hakikatnya ia mengundang bahaya. Ini kerana air pada waktu itu agak tinggi mencecah paras leher.
Turut kelihatan ada yang terus segera memanjat tembok pagar dan meredah banjir untuk membantu apa yang patut.
Difahamkan ibu dan bayi selamat walaupun melalui detik yang sangat sukar, keadaan tak selesa dan kesejukan.
Sementara itu, perkongsian yang dibuat oleh @tutynooramalina di TikTok turut memaklumkan ibu dan bayi itu kedua-duanya berada dalam keadaan yang baik.
Malah ramai yang bersimpati dan mendoakan urusan ibu dan anak ini terus dipermudahkan Allah dan tiada sebarang masalah selepas ini.
Ini kerana bukan mudah bersalin dalam keadaan yang serba kekurangan tambah pula dalam air tanpa apa-apa persediaan lengkap.
Sumber: FB Ain Fatin Lyana & TikTok @tutynooramalaina
Artikel asal di Pa&Ma
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !